Membaca perjalanan hidup para Ulama’
Salafussoleh, jiwa terasa sebak dan sesak. Hati menjadi sayu dan haru. Mereka
terdiri dari kalangan mufti dan da’ie. Tetapi mereka sama sekali tidak mencari
populariti dan kemasyhuran dengan lautan ilmu yang mereka miliki.
Berbeza pula halnya dengan para pendakwah di zaman sekarang. Sangat sedikit yang mengikut jejak
langkah salaf dalam hal ini. Mari kita lihat adakah para Ulama’ terdahulu
cintakan kemasyhuran atau tidak.
Ketika di Kufah, kitab manasik dibacakan kepada ‘Abdullah
Ibn Mubarak, sehingga sampai pada sepotong hadis dan terdapat ucapan ‘Abdullah
bin Al-Mubarak padanya, lalu kami mengambilnya. Beliau berkata: ‘Siapa yang
menulis ucapanku ini?’ Aku [Al-Hasan, murid kepada Ibn Mubarak] katakan:
‘Penulis.’ Maka beliau menghilangkan tulisan itu dengan jari tangannya hingga
terhapus, kemudian berkata: “Siapakah aku ini sehingga ditulis ucapannya?”
(Sifatu al Shafwah, Ibn al-Jauzi 5/135)
Lihatlah akhlak dan adab seorang ‘alim. Dunia mengiktiraf kesarjanaan ‘Abdullah
Ibn al-Mubarak (w. 181 h.) dalam bidang hadis. Bahkan beliau merupakan Kibar al-Fuqaha’ !
Namun, dalam kedudukan sebegitu rupa, bukanlah kemasyhuran yang beliau
dambakan. Beliau dahagakan redha Allah ar-Rahmaan.
Suatu hari, Imam Ahmad bin Hanbal (w. 241 h.) telah dipuji oleh seseorang dengan ucapan ‘Jazaakallahu
khayran’ (semoga Allah membalas anda dengan kebaikan) atas perjuangan Islam
anda. Kelihatannya, wajah Imam Ahmad menjadi muram, lalu beliau berkata: “Allah
telah memberi kebaikan Islam kepada diriku. Siapalah aku ini ?”
(Siyar A’laam an-Nubala’, al-Zahabi)
Masya Allah, mulia sungguh diri mereka. Sangatlah sedikit para pendakwah semasa
yang berpegang teguh dengan jalan mereka. Namun, sedikit tidak bererti tiada.
Tidak disebut tidak bermakna ia tidak berlaku.
Berikut adalah akhlak dua orang Syaikh kontemporari yang jelas menunjukkan
kerendahan hati mereka. Mereka ialah, as-Syaikh al-Faqih Muhammad bin Soleh al-‘Utsaimin
dan as-Syaikh al-Muhaddith Muhammad Nasiruddin al-Albani rahimahumallah.
Suatu hari, di dalam majlis ceramah yang disampaikan oleh As-Syaikh Ibn al-‘Utsaimin,
apabila pengerusi majlis sedang memperkenalkan biodata penceramah dengan
katanya:
“As Syaikh Ibn ‘Utsaimin merupakan salah seorang ahli pembesar para Ulama’’,
serta merta Syaikh al-‘Utsaimin memintas kata lelaki tersebut dengan berkata: “Cukup,
cukup.”
Masya Allah.
Kisah Syaikh al-Albani pula. Suatu hari, as Syaikh dipuji oleh seorang lelaki
di dalam majlis ceramahnya. As Syaikh al-Albani mengucapkan terima kasih, lalu
beliau terasa sebak dan beliau menangis. Kata beliau:
“Aku ingin mengucapkan apa yang diucapkan oleh Abu Bakar as-Siddiq apabila
dipuji. Ya Allah, janganlah kau salahkan aku dengan apa yang mereka ucapkan,
berikanlah buatku kebaikan terhadap apa yang mereka sangkakan, dan ampunilah
aku terhadap apa yang mereka tidak ketahui.” Syaikh menangis.
Kata beliau lagi: “Bukanlah aku, seperti mana yang disifatkan, yang kalian
dengari sebentar tadi. Sesungguhnya aku hanyalah seorang penuntut ilmu, tidak
lebih dari itu.”
Ma sya Allah. Semoga Allah tidak menjadikan populariti dan kemasyhuran itu
sebagai suatu tujuan yang didambakan. Cukuplah hanya keredhaan Allah yang kita
harapkan. Semoga Allah menetapkan kita di atas jalan ini. Ameen.
Muhammad Fahmi bin Rusli,
16 January 2013.
0 comments
Post a Comment