Pages

Tuesday 28 August 2012

Agungnya Kasih Sayang Itu.




Di antara sifat keagungan Allah Jalla wa 'Ala ialah, Dia bersifat Ar-Raheem. Maha Pengasih. Dia kasih kepada setiap hamba-hambaNya yang beriman. Di antara tanda keluasan kasih sayangNya terhadap para hambaNya dapat kita lihat menerusi firmanNya ini:



Maksudnya: "Katakanlah (Muhammad), wahai sekalian hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kalian berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampunkan keseluruhan dosa, sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang". 

(Az-Zumar: 53)

Al-Hafizh Ibn Kathir Rahimahullah ketika menafsirkan ayat ini beliau berkata:

"Ayat yang mulia ini merupakan satu seruan kepada seluruh pelaku maksiat, mencakupi orang-orang kafir dan selain mereka untuk bertaubat dan kembali menyerah diri kepada Allah. Ayat ini mengkhabarkan bahawa sesungguhnya Allah itu mengampunkan kesemua dosa bagi sesiapa yang bertaubat dan kembali dari dosa tersebut. Baik apa sahaja dosa sekalipun, betapa banyak sekalipun, meskipun ibarat buih di lautan".

(Tafsir al-Qur'an al-'Azhim, al-Hafiz Ibn Kathir)

Alangkah besar dan luasnya kerahmatan Allah. Dia membuka seluas pintu kepada hambaNya yang berdosa dan penuh noda. Asalkan mereka bertaubat dan kembali kepadaNya. Siapakah yang mampu menjamin dirinya terpelihara dari dosa dan maksiat? Siapakah yang mampu menjamin semua itu? Allah mengetahui hakikat ini, Dia menerima para hambaNya yang benar-benar ingin kembali kepadaNya. Janganlah kalian berputus asa dari rahmat Allah.

Lihatlah contoh seorang insan yang kembali mencari Tuhan. Benar-benar dia ingin bertaubat setelah terlalu banyak dosa yang dibuat.

Di dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim, diriwayatkan dari Abu Sa'id Radhiyallahu 'anh, dari Rasulullah S.A.W. Baginda menceritakan tentang seorang lelaki yang telah membunuh sebanyak 99 nyawa. Kemudian dia menyesal dan bertanyakan kepada seorang 'abid dari kalangan ahli-ahli 'ibadah Bani Israil. "Masih adakah baginya taubat"? 'Abid tersebut menjawab: "Tidak".

Lelaki tersebut kemudian membunuh 'abid tersebut dan genaplah seratus orang yang dibunuhnya. Kemudian orang tersebut menanyakan seorang 'alim dari kalangan ulama' mereka. "Masih adakah baginya taubat"? Jawab 'alim tersebut: "Siapakah yang menghalang di antara engkau dengan taubat"? Kemudian 'alim tersebut memerintahkannya pergi ke sebuah kampung di mana dia boleh ber'ibadah kepada Allah. Orang itu pergi ke kampung tersebut dan kematian menjemputnya di pertengahan jalan.

Malaikat rahmat dan Malaikat azab berbantahan berkenaan orang tersebut. Lalu Allah memerintahkan mereka untuk mengukur jarak antara kedua tempat tersebut. Tempat yang lebih berdekatan itulah tempat dia dinisbahkan. Setelah diukur ternyata dia lebih dekat dengan kampung yang ingin ditujunya. Malaikat rahmatlah yang memegang jiwa orang tersebut. Sekali lagi keluasan rahmat Allah terpancar dari kisah ini. Maka janganlah kalian berputus asa dari rahmat Allah.

Akhir kata, sama-sama kita hayati sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam at-Tirmizi berikut:

Dari Anas Radhiyallahu 'anhu berkata, aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda:

"Allah Ta'ala berkata: 

"Wahai anak Adam, sesungguhnya engkau selama mana meminta kepadaKu dan berharap kepadaKu, akanKu ampunkan kamu atas apa sahaja yang ada padamu dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam sekiranya dosa-dosamu mencecah langit, kemudian engkau memohon keampunan dariKu, nescaya Aku ampunkan.Wahai anak Adam, sekiranya engkau datang kepadaKu dengan kesalahan yang memenuhi bumi, kemudian engkau bertemu denganKu dalam keadaan tidak mensyirikkanKu, akan Akan datangkan kepadamu keampunan yang seluas bumi". 

Kata at-Tirmizi hadis ini Hasan.

Maka janganlah kalian berputus asa dari rahmat Allah. Bertaubat dan kembalilah kepadaNya.

Muhammad Fahmi Bin Rusli,
Aal al-Bayt University, Mafraq, Jordan.
29/8/12.

Monday 27 August 2012

Hidayah, Ilmu, Hujan, dan Tanah.



Di dalam kitab Sahih al-Bukhari, penulisnya al-Imam al-Bukhari rahimahullah telah meletakkan suatu bab yang bertajuk 'Bab kelebihan orang yang mempelajari ilmu dan mengajarkannya'. Manakala hadis yang dipilih oleh beliau di dalam bab ini adalah hadis berikut:

Nabi Sollallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Perumpamaan apa yang Allah utuskan aku dengannya, di antara hidayah dan ilmu adalah seumpama hujan lebat yang turun membasahi bumi. Ada di antaranya tanah yang subur, yang mampu menyerap air lalu menumbuhkan tumbuh-tumbuhan dan rerumput yang banyak. Ada juga di antara tanah tersebut merupakan tanah kering yang mampu menakungkan air, lalu Allah memberikan manfaat kepada manusia. Mereka minum, mereka mengambil air, dan bercucuk tanam dengannya. Hujan turun membasahi tanah yang lain. Sesungguhnya ia adalah tanah yang tandus dan gersang, ia tidak mampu menakungkan air, tidak juga ia menumbuhkan tumbuh-tumbuhan. Demikian itulah perumpamaan sesiapa yang memahami agama Allah, dan dia memanfaatkan apa yang Allah utuskan daku dengannya. Dia mempelajari ilmu dan mengajarkannya. Dan perumpamaan bagi sesiapa yang tidak mengangkat kepalanya (tidak mempedulikannya), dia tidak akan mendapat hidayah Allah, yang mana aku diutuskan dengannya".

Difahami dari hadis ini, Rasulullah Sollallahu 'alaihi wasallam membuat sebuah perumpamaan yang menarik dalam menerangkan tiga golongan:

1) Golongan yang mempelajari ilmu, memanfaatkannya, dan mengajarkan pula kepada orang lain. Golongan ini persis tanah yang subur. Ia bukan sahaja mampu menyerap air, bahkan bermanfaat pula ia dengan menumbuhkan tumbuh-tumbuhan dan rerumput yang banyak.

2) Golongan yang mempelajari ilmu, mungkin mereka tidak mengamalkan perkara-perkara sunatnya. Namun dalam masa yang sama mereka menyebarkan ilmu tersebut kepada orang lain. Maka mereka seumpama tanah kering. Walau tidak mampu menyerap air, ia mampu menakung air. Berguna ia kepada manusia yang mana mereka mampu minum, mengambil air, dan bercucuk tanam menggunakan air tersebut.

3) Golongan yang mendengar ilmu, tetapi tidak mengamalkannya. Tidak juga mereka menyebarkan ilmu tersebut. Perumpamaan yang sesuai buat mereka adalah ibarat tanah yang tandus dan kontang. Gersang. Walau ia juga turut menerima hujan, namun tidak mampu menyerap atau menakungnya. Tidak mampu juga untuk menumbuhkan tumbuhan dan rerumput yang segar. Tiada manfaat pada diri mereka.

Al-Imam al-Qurthubi rahimahullah, ketika mengulas hadis ini beliau mengatakan:

"Nabi sollallahu 'alaihi wasallam membuat sebuah perumpamaan bagi Agama yang Baginda bawakan dengan hujan yang turun pada saat manusia sangat memerlukannya. Begitulah keadaan manusia sebelum Baginda diutuskan. Sebagaimana hujan dapat menghidupkan negeri-negeri yang mati, demikian juga ilmu-ilmu agama dapat menghidupkan hati-hati insan yang mati. Kemudian orang ramai yang mendengar ilmu diumpamakan oleh Baginda dengan tanah yang beraneka ragam yang dibasahi oleh air hujan tersebut".

Wallahu A'lam,

Muhammad Fahmi Bin Rusli,
28/8/12

Saturday 25 August 2012

Lafaz Niat Suatu Syari'at?




“Ustaz, betulkah kalau kita lafazkan niat tetapi kita tidak menyebut perkataan ‘fardhu’ maka solat kita menjadi tidak sah? Sebab ada ustaz yang cakap tidak sah solat jika tidak melafazkan ungkapan fardhu”.

Ini merupakan soalan yang diajukan kepada saya usai kuliah bersama kaum ibu pada Ramadhan yang lalu. Nampak benar riak ingin tahu yang tinggi pada wajah penyoal. Manakan tidak. Pertama, kerana 'fatwa' itu seakan pelik. Kedua, disampaikan pula oleh seseorang yang bergelar Ustaz.

Dalam mengulas isu ini, tidak dapat tidak kita perlu merujuk kembali kepada al-Qur'an dan as-Sunnah. Kerana niat adalah ibadah dalam Agama. Manakala al-Quran dan as-Sunnah adalah kayu ukur dalam hal ehwal ibadah.

Soal lafaz niat, hadis Nabi terang-terang menjelaskan bahawasanya setiap amalan itu berdasarkan niat. Niat merupakan suatu yang berbeza dengan lafaz niat. Niat itu tempatnya di hati, manakala lafaz niat itu tempatnya di lidah.



Mari kita lihat penjelasan yang dibuat oleh al-Hafizh Ibn al-Qayyim di dalam kitabnya Zaad al-Ma'ad berkenaan hal ini. Kata beliau rahimahullah:

"Adapun Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam apabila bangun mendirikan solat, Baginda mengucapkan Allahu Akbar. Baginda tidak mengucapkan sesuatupun sebelumnya dan sekalipun tidak melafazkan niat. Baginda tidak menyebut sahaja aku solat kerana Allah begini, menghadap qiblat, sebanyak 4 raka'at, menjadi imam atau ma'mum, dan Baginda tidak menyebut aku menunaikan atau qadha'. Inilah 10 bida'ah yang tidak dinaqalkan dari Baginda Nabi oleh seorangpun dengan sanad yang sahih, dhaif, dan tiada suatu lafaz pun dari Baginda dengan sanad yang mursal. Bahkan tiada juga dari para sahabat Baginda, dan tidak dianggap baik oleh seorang pun dari kalangan Tabi'in dan tidak pula oleh Imam yang empat (Abu Hanifah, Malik, As-Syafi'e, Ahmad). 

Sebahagian mutaakhirin (golongan terkemudian) terpengaruh dengan ungkapan as-Syafi'e berkenaan solat. Di mana kata as-Syafi'e: "Sesungguhnya ia (solat) tidak sama dengan puasa. Ia tidak dimasuki melainkan dengan az-Zikr". Maka yang disangkakan zikir itu adalah orang bersolat perlu melafazkan niat. Sesungguhnya, zikr yang dimaksudkan oleh as-Syafi'e adalah Takbirat al-Ihram".

Wallahua'lam.
Muhammad Fahmi Bin Rusli,
Aal al-Bayt University.
26/8/12.