Pages

Tuesday 28 June 2016

Gabung Puasa Qadha & Puasa 6 Hari Bulan Syawal


Mukadimah

Saban tahun antara persoalan yang sering ditimbulkan oleh masyarakat umum adalah berkenaan hukum menggabungkan puasa ganti dengan puasa sunat sebanyak 6 hari pada bulan syawal. Adakah ianya dibolehkan ataupun perlu dilakukan puasa ganti terlebih dahulu ? Justeru, post kali ini akan mengupas isu ini secara tuntas dan lebih lanjut.

Pensyariatan Puasa Qadha’ (Ganti)

Terdapat beberapa golongan yang tidak boleh berpuasa sama ada disebabkan keuzuran syar’ie ataupun rukhsah (keringanan) yang telah syarak berikan kepada mereka. Golongan tersebut antaranya adalah:

Pertama: Wanita Yang Dalam Keadaan Haid Atau Nifas

Golongan ini tidak dibolehkan untuk berpuasa pada bulan Ramadhan dan menjadi kewajipan ke atas mereka untuk menggantikan puasa yang ditinggalkan tersebut pada hari yang lain. Dalil yang menyatakan kewajipan qadha’ puasa bagi mereka adalah berdasarkan kata-kata Ummul Mukminin A’isyah R.anha:

كُنَّا نَحِيضُ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ثُمَّ نَطْهُرُ فَيَأْمُرُنَا بِقَضَاءِ الصَّوْمِ وَلاَ يَأْمُرُنَا بِقَضَاءِ الصَّلاَةِ ‏

Maksudnya: Kami telah haid pada zaman Rasulullah S.A.W. Kemudian kami suci maka baginda memerintahkan kami untuk menggantikan puasa dan baginda tidak memerintahkan kami untuk menggantikan solat.
Riwayat al-Nasaie (2318)

Berdasarkan hadis di atas, Nabi S.A.W memerintahkan wanita yang haid untuk menggantikan puasa mereka. Seperti yang telah disebutkan oleh para ulama, setiap perintah Nabi S.A.W menunjukkan kepada hokum wajib melainkan terdapatnya qarinah (petunjuk) lain yang mengalihkan daripada makna wajib kepada hukum yang lain. Ini berdasarkan sebuah kaedah yang masyhur:

لأَمْرُ يُفِيدُ الوَجُوب

Maksudnya: Kata perintah menunjukkan kepada wajib.

Justeru, puasa qadha’ (ganti) merupakan suatu kewajipan ke atas setiap perempuan yang didatangi haid atau nifas pada bulan Ramadhan.

Kedua: Golongan Yang Sakit & Orang Yang Bermusafir

Golongan yang sedang bermusafir dan orang yang sakit dalam bulan puasa diberikan keringanan untuk tidak berpuasa. Pun begitu, menjadi kewajipan ke atas mereka untuk menggantikan puasa mereka pada hari yang lain. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T:

فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوۡ عَلَىٰ سَفَرٖ فَعِدَّةٞ مِّنۡ أَيَّامٍ أُخَرَ


Maksudnya: Siapa dari kalangan kalian yang sakit ataupun dalam keadaan bermusafir maka gantikanlah ia (puasa) pada hari yang lain.

                                                                                                                          Surah al-Baqarah (184)

Jelas dari ayat di atas menunjukkan bahawa qadha’ puasa adalah wajib ke atas mereka yang tidak berpuasa disebabkan sakit atau musafir pada bulan Ramadhan.

Pensyariatan Puasa 6 Hari Di Bulan Syawal

Daripada Abu Ayyub Al-Ansari R.anhu beliau berkata, Rasulullah S.A.W bersabda:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ بِسِتٍّ مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصَوْمِ الدَّهْرِ

Maksudnya: Sesiapa yang berpuasa Ramadhan, kemudian diikuti dengan (puasa) enam hari pada bulan Syawal yang demikian itu seperti berpuasa sepanjang tahun.

Riwayat Muslim (1164), Ibn Majah (1716)

Para fuqaha menyebutkan bahawa hukum melakukan puasa 6 hari pada bulan Syawal adalah sunat mustahabbah (yang digalakkan).

Yang dimaksudkan dengan ganjaran pahala seperti berpuasa sepanjang tahun itu antara pendapatnya adalah kerana pada bulan Ramadhan seseorang itu berpuasa selama 30 hari. Manakala jika dia mengikuti puasa Ramadhan tersebut dengan puasa 6 hari selepasnya maka dia telah berpuasa sebanyak 36 hari. Setiap kebaikan yang dilakukan itu akan memperoleh sepuluh ganjaran berdasarkan riwayat daripada Abu Hurairah R.anhu beliau berkata, sabda Nabi S.A.W:

الْحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا

Maksudnya: Satu kebaikan itu bersamaan 10 ganjaran pahala.

Justeru 30 hari berpuasa Ramadhan dicampurkan dengan 6 hari pada bulan Syawal bersamaan 36 kebaikan yang digandakan sebanyak 10 kali maka ganjarannya adalah sebanyak 360 yang merupakan jumlah bilangan hari dalam setahun menurut kalendar hijrah.

Bolehkah Digabungkan Puasa Qadha Dengan Puasa 6 Hari Bulan Syawal ?
Inilah isu utama yang menjadi tajuk perbincangan kita di sini. Setelah kita mengetahui akan hukum bagi kedua-dua puasa iaitu puasa qadha dan juga puasa 6 hari di bulan Syawal, maka timbul persoalan iaitu bolehkah kedua-duanya digabungkan serentak ?

Pendapat Imam al-Khatib al-Syarbini Rahimahullah :
وَلَوْ صَامَ فِي شَوَّالٍ قَضَاءً أَوْ نَذْرًا أَوْ غَيْرَ ذَلِكَ هَلْ تَحْصُلُ لَهُ السُّنَّةُ أَوْ لَا لَمْ أَرَ مَنْ ذَكَرَهُ وَالظَّاهِرُ الْحُصُولُ لَكِنْ لَا يَحْصُلُ لَهُ هَذَا الثَّوَابُ الْمَذْكُورُ خُصُوصًا مَنْ فَاتَهُ رَمَضَانُ وَصَامَ عَنْهُ شَوَّالًا لِأَنَّهُ لَمْ يَصْدُقْ عَلَيْهِ الْمَعْنَى الْمُتَقَدِّمُ
Maksudnya: Sekiranya seseorang itu berpuasa qadha (ganti), nazar, atau selainnya pada bulan Syawal adakah dia turut memperoleh pahala sunnah (6 hari Syawal) ataupun tidak ? Aku tidak temui seorang pun yang menyebutnya. Yang zahirnya dia turut mendapatnya (pahala sunnah) akan tetapi dia tidak memperoleh ganjaran pahala yang disebutkan (berpuasa) sepanjang tahun. Lebih-lebih lagi mereka yang meninggalkannya pada bulan Ramadhan lalu berpuasanya (ganti puasa) pada bulan Syawal kerana itu tidak menepati makna yang telah disebutkan.
Rujuk Mughni al-Muhtaj, al-Syarbini 2/184.

Pendapat Syeikhul Islam Zakaria al-Ansari Rahimahullah

 وَلَو صَامَ فِيهِ - أَيْ شَوَّال - قَضَاء عَن رَمَضَانَ أَوْ غَيْرِهِ نَذراً أوْ نَفلاً آَخَر حَصَلَ لَهُ ثَوَاب تَطَوعهَا إِذْ المَدَار عَلَى وُجُودِ الصَّومِ فِي سِتَّةِ أَيَّامٍ مِنْ شَوَّال لَكِنْ لا يحصل لَهُ الثَّوَاب الكَامِل المُتَرَتَّب عَلَى المَطْلُوبِ إِلَّا بِنِيَّة صومهَا عَنْ خُصُوصِ السِّتِّ مِنْ شَوَّال وَلاسِيَّمَا مَنْ فَاتَهُ رَمَضَانَ لأنه لم يصدق أنه صَامَ رمَضَان وأتْبَعَه ستاً مِنْ شوال
Maksudnya: Sekiranya seseorang itu berpuasa qadha Ramadhan atau nazar atau selainnya dari puasa sunat pada bulan Syawal maka dia memperoleh ganjaran puasa sunatnya disebabkan madar (ruang legarnya) adalah terdapatnya puasa pada enam hari dari bulan Syawal. Akan tetapi, dia tidak memperoleh ganjaran penuh yang diberikan kepada perbuatan yang dituntut melainkan dengan niat dia berpuasa khusus selama 6 hari pada bulan Syawal. Tambahan pula bagi sesiapa yang terlepasnya (puasa) pada bulan Ramadhan kerana dia tidak dikira sebagai orang yang berpuasa Ramadhan kemudian diikuti dengan puasa 6 hari pada bulan Syawal.
Rujuk Hasyiah al-Syarqawi ‘Ala Tahrir al-Lubab, Zakariya al-Ansari.
Pendapat Imam Ibn Rajab al-Hanbali Rahimahullah
Kata al-Hafiz Ibn Rajab:
إِذَا اجْتَمَعَتْ عِبَادَتَان مِن جِنْسٍ وَاحِدٍ فِي وَقْتٍ وَاحِدٍ لَيسَتْ إِحْدَاهُمَا مَفْعُولَةٌ عَلَى جِهَةِ القَضَاءِ وَلَا عَلَى طَرِيقِ التَّبعِيةِ لِلأُخْرَى فِي الوَقْتِ تَدَاخَلَتْ أَفْعَالُهُمَا وَاكْتَفَي فِيهِمَا بِفِعْلٍ وَاحِدٍ
Maksudnya: Apabila dihimpunkan dua ibadah dari jenis yang sama pada waktu yang sama, dalam keadaan salah satunya bukanlah dilakukan dari sudut qadha’ dan tidak pula dari segi taba’iyyah (ikutan) kepada ibadah yang lain maka ia dikira termasuk dalam perbuatan kedua-duanya dan mencukupilah dengan sekali perbuatan.
Rujuk Taqrir al-Qawaid, Ibn Rajab (1/142).
Daripada kenyataan di atas, dapatlah difahami bahawa tidak boleh untuk menggabungkan di antara dua ibadah yang ada tujuan tertentu bagi kedua-duanya dalam masa yang sama. Seperti seseorang yang ingin melakukan solat fardhu zohor lalu dia menggabungkan niatnya untuk solat sunat empat rakaat (ba’diyah) sesudah zohor.
Begitu juga dengan mereka yang berniat qadha Ramadhan dan gabungkan dengan niat puasa 6 hari bulan Syawal maka ia tidak dikira. Ini kerana qadha’ adalah wajib manakala puasa 6 hari adalah sunat.
Kesimpulan
Bagi golongan yang tidak berpuasa pada bulan Ramadhan disebabkan keuzuran, maka lakukanlah puasa qadha’ terlebih dahulu. Tidak boleh untuk digabungkan dengan niat puasa enam hari bulan Syawal. Jika qadha’nya pada bulan Syawal dilakukan dalam tempoh 6 hari dalam bulan Syawal, maka diharapkan dia turut mendapat ganjaran pahala puasa sunat pada hari tersebut. Wallahu A’lam.






Friday 24 June 2016

Cinta, Taubat, & Redha | Kita Sangka & Rupa Rupanya



Kita Sangka & Rupa Rupanya.. |
Kita sangka, kalau kita mencintai Allah barulah Allah akan mencintai kita. Rupa-rupanya, Allah mencintai kita terlebih dahulu kemudian barulah kita mencintai Dia.
يحبهم ويحبونه
Maksud: Dia mencintai mereka dan mereka mencintai-Nya.
Kita sangka, apabila kita bertaubat terlebih dahulu barulah Allah menerima taubat kita. Rupa-rupanya, Dia menerima taubat kita terlebih dahulu lalu kita diberi taufiq untuk bertaubat.
ثم تاب عليهم ليتوبوا
Maksud: Kemudian Dia memberi taubat ke atas mereka supaya mereka bertaubat.
Kita sangka, bila kita redha dengan segala ketentuan Allah barulah Allah akan redha kepada kita. Rupa-rupanya, Allah telah redha kepada kita terlebih dahulu.
رضي الله عنهم ورضوا عنه
Maksud: Allah telah redha ke atas mereka dan mereka pun redha kepada Allah.

Muhammad Fahmi Bin Rusli
Kuala Lumpur
24 Jun 2016