Monday, 16 December 2013

PRK PRISMA - Manifesto Calon



Bismillah. Berikut merupakan manifesto saya sebagai calon untuk kerusi Biro Pembangunan Insan dan Ideologi sesi 13/14.

1- Menubuhkan medium ilmiah berasaskan bidang para ahli.

2- Menyemai perpaduan sesama ahli melalui program-program pembangunan modal insan.

3- Menyemarakkan aktiviti tafaqquh dwi aliran (University & Talaqqi)

Pencerahan:

Suka saya memberitahu, proses mengeluarkan manifesto bukan suatu yang mudah. Ia memerlukan kita berfikir panjang, memahami dengan baik suasana pemikiran para ahli, mengkaji, memadam semula apa yang difikirkan atas kemaslahatan yang lebih besar, mengaplikasikan feqh al-Awlawiyyaat (menilai keutamaan), mengukur kadar kemampuan dan keterbatasan diri, serta berdoa dan membulatkan tekad kepada Allah.

Kalian maklum, ini merupakan manifesto kedua yang saya fikirkan, dalam bidang pencalonan yang sama, usai Pilihan Raya Kampus sesi lepas. Jika diteliti, saya padam dua darinya dan diggantikan dua poin baharu.

Menubuhkan medium ilmiah berasaskan bidang para ahli

Medium bagaimana yang dimaksudkan ?

Begini. Menjadi harapan besar bagi saya untuk menubuhkan medium-medium ilmiah, yang berperanan menghasilkan makalah-makalah mahupun jurnal ilmiah secara berkala. Kita maklum, bahawa mahasiswa kita di sini terdiri dari tiga bidang utama: Usuluddin, Feqh dan Usul, serta Bahasa Arab.

Alangkah baiknya, jika ditubuhkan medium khas untuk setiap takhassus (pengkhususan). Memikir, mengkaji, menganalisa, serta menghasilkan bahan ilmiah, berdiskusi, berwacana, berkenaan Aqidah, Tafsir, dan Hadis (Usuluddin), Feqh, Usul Feqh, Kaedah Feqh (Feqh dan Usul Feqh), serta ilmu-ilmu dalam bahagian Kulliyah Lughah wa Adaabuha.

Menyemai perpaduan sesama ahli melalui program-program pembangunan modal insan

Menyentuh isu perpaduan. Saya tenangkan diri saya dengan kata-kata al-Imam Nashir as-Sunnah Muhammad bin Idris as-Syafie;

إن إرضا النلس غاية لا تدرك

Maksudnya: Sesungguhnya redha manusia itu suatu matlamat yang tidak akan dapat tercapai.

Saya - Insha Allah - sekiranya terpilih, akan berusaha bersungguh-sungguh merangka aktiviti-aktiviti pembangunan modal insan yang dapat merapatkan ukhuwwah sesama ahli, yang tidak dapat saya nyatakan di sini. Mudah-mudahan, biarlah perpaduan kita atas dasar kebenaran. Mudah-mudahan, biarlah bersatunya kita atas dasar cinta pada Tuhan.

Menyemarakkan aktiviti tafaqquh dwi aliran (University & Talaqqi)

Melalui poin ini, kita dapat fahami bahawa proses menyemarakkan merupakan suatu usaha untuk menambah baik serta menyuburkan program-program tafaqquh dwi aliran yang sudah sedia dijalankan di sini. Justeru pelbagai program bakal dijalankan - Insha Allah - mengikut maslahat, dan sasaran yang kita harapkan buat para ahli.

Demikian, serba sedikit pencerahan berkaitan manifesto yang saya rancangkan. Manifesto ini, tidak lain tidak bukan :

إن أريد إلا الإصلاح ما استطعت

Tidaklah yang aku mahukan, kecuali untuk membuat Islah (pembaikan) sekadar yang aku mampu.

Sekian,

Calon Biro Pembangunan Insan & Ideologi PRISMA,
Muhammad Fahmi bin Rusli.

16/Disember/2013

Wednesday, 25 September 2013

Jangan Menilai Seseorang Dari Luaran.



Pepatah menyebut: Don't judge a book by its cover. Ya, jangan menilai sesebuah buku hanya melalui kulitnya. Boleh jadi sesebuah buku itu luarannya buruk, namun di dalamnya penuh dengan isi-isi yang bermanfaat. Boleh jadi sesebuah buku itu luarannya cantik, namun di dalamnya penuh dengan isi-isi picisan dan khurafat.

Begitu juga dalam menyingkapi manusia.

Pertemuan pertama kali, dengan sekadar memandang zahir pakaiannya, tidak cukup untuk kita benar-benar mengenali dirinya. Duduklah bersamanya, berbual dengannya. Ini lebih berkesan untuk kita menilai seseorang berbanding menilainya dari luaran.

Kisah Ibn Utsaimin dan gurunya al-Imam al-Mufassir al-Amin as-Syanqithi.

Kata al-Imam Ibn Utsaimin Rahimahullah:

Kami para penuntut ilmu di Ma'had Ilmi di Riyadh, dan kami duduk di dalam kelas. Kemudian, Syaikh (Al-Amin as-Syanqithi) masuk ke dalam kelas. Ketika aku melihatnya, aku berkata: Ini seorang Badwi dari kalangan Arab. Tiada padanya bekalan ilmu ! Bajunya lusuh, pada dirinya tiada tanda-tanda kehebatan. Tidak mengambil berat tentang penampilan dirinya. Lalu beliau hilang dari fikiran kami. Aku terfikirkan as-Syaikh Abd ar-Rahman as-Si'di. Aku berkata dalam diriku: Aku meninggalkan Syaikh Abd ar-Rahman as-Si'di dan aku duduk di hadapan Badwi ini ?

Ketika mana as-Syanqithi memulakan pengajarannya, tertumpahlah ke atas kami permata-permata dari faedah ilmu, hasil dari lautan ilmu beliau. Maka tahulah kami bahawa kami sedang berada di hadapan seorang yang berkelayakan dari kalangan Ulama. Maka kami memperoleh manfaat dari ilmu beliau, keperibadiannya, akhlaknya, zuhudnya, serta wara'nya beliau.

(Majalah al-Hikmah, Bil: 2)

Saudaraku, ambillah pengajaran dari kisah ini. Entah berapa ramai insan yang kita memandangnya negatif dari luaran, ia berubah positif usai berkenalan. Bersangka baiklah dalam menilai sesama insan.

25 September 2013

Mafraq, Jordan.

Sunday, 14 April 2013

Nota Dakwah: Antara az-Zuhri dan Anak Muda.



Seorang penceramah membacakan sebuah hadis dalam ceramahnya.

Lalu al-Imam az-Zuhri berkata: 
Perkara ini tidak warid dalam Sunnah Nabi صلى الله عليه وسلم.

Penceramah tersebut pun duduk. Tiba-tiba bangun seorang budak lalu berkata:


Wahai Imam. Kata az-Zuhri: Ya. Budak itu bertanya: 

Adakah engkau menghafaz sunnah seluruhnya ?

Az Zuhri menjawab: Tidak.

Adakah engkau menghafaz separuh darinya ?

Az Zuhri menjawab: Tidak.

Adakah engkau menghafaz dua pertiga darinya ?

Az Zuhri menjawab: Tidak.

Kata budak tersebut: Andaikanlah kamu menghafaz separuh dari Sunnah. Lalu hadis yang dibacakan Syaikh tadi berada di dalam separuh yang tidak kamu menghafaznya !

Maka terdiamlah az-Zuhri dan beliau mengakui kekuatan hujah budak tersebut.

Kesimpulannya di sini, janganlah kita bermudah-mudahan mengatakan bahawa hadis ini tidak warid dari Nabi, perkara ini tidak terdapat di dalam Sunnah, dan yang seumpamanya. Kerana hadis yang kita tidak pernah dengar, boleh sahaja orang lain pernah mendengarnya.

Telitilah sebelum menafikan sesuatu hujjah.

Wallahua'lam.

Nota Kaki:

Al-Imam az-Zuhri merupakan seorang alim kabir lagi agung dalam ilmu hadis. Sekiranya kita membuka kitab as-Sahihain, kita akan dapati nama beliau terdapat dalam kitab tersebut. Begitu juga nama beliau tercatat di dalam kutub as-sittah di kebanyakan tempat.

Aal al-Bayt University, Jordan.
15 April 2013 Masihi.

Sunday, 7 April 2013

Dakwah: Dengan Ilmu Atau Cukup Sekadar Semangat ?


Dalam merungkai secara lebih terperinci berkaitan tajuk yang dipilih, penulis cuba menarik minat para pembaca dengan kata-kata berikut:


"Ada orang tinggi semangat dakwahnya, akan tetapi kontang ilmunya. Ada orang tinggi ilmunya, akan tetapi gersang semangat dakwahnya."

Ya, realitinya inilah yang berlaku pada segelintir masyarakat kita.

Ilmunya tiada. Cerita agama di situ, mengeluarkan hukum di sana. Seakan-akan agama disebarkan tanpa ada neraca yang mengukur. Menyebarkan agama itu tidak salah. Cumanya, menyampaikan inti agama tanpa ilmu dan nas yang sahih merupakan suatu masalah !

Di sudut lain,

Ilmunya penuh di dada. Tatkala berbicara mengenai agama, maka dialah ahlinya. Kurangnya, dia tidak berdakwah kepada masyarakat. Tidak melalui lisan, tidak pula dari penulisan. Masyarakat tidak merasai manfaat dari ilmu yang dia miliki. Ini benar-benar suatu musibah.

Kita secara jujur, tidak mahu melahirkan insan-insan seumpama ini.

Biarlah berilmu, tinggi juga semangat menyebarkannya.

Biarlah bersemangat dalam dakwah, tinggi juga bekalan ilmu yang dibawanya bersama.

Mungkin inilah yang dimaksudkan oleh al-Hafiz Ibn Qayyim al-Jauziyyah melalui kata-katanya:

Apabila dakwah kepada Allah merupakan kedudukan hamba yang paling mulia, paling terhormat, dan paling utama, maka ia tidak dapat dihasilkan kecuali dengan ilmu yang digunakan untuk berdakwah. Bahkan kesempurnaan dakwah hanya dapat dicapai melalui ilmu yang cukup.

Ini kata-kata yang tepat.

Dakwah itu kerja mulia.

Ilmu itu pelengkap kerja.

Keduanya kena saling bersepakat, menyebarkan dakwah tidak cukup dengan hanya bersemangat. Bahkan ia memerlukan kepada keluasan ilmu yang jitu dan kuat.

Tanpa ilmu, dakwah kontang. Tanpa dakwah, ilmu tempang.

Muhammad Fahmi bin Rusli.
Universiti Aal- al-Bayt, Jordan.
8 April 2013.

Monday, 1 April 2013

Jangan Umumkan Istilah Yang Pada Lafaznya Ada Persamaan.




1- Di dalam kitab Taqrib at-Tahzib karangan al-Imam al-Hafidz Ibn Hajar al-‘Asqalani Rahimahullah (w. 852 h.), beliau meletakkan huruf-huruf tertentu sebagai singkatan bagi para perawi. Sebagai contoh: Huruf خ merujuk kepada al-Bukhari. Huruf م merujuk kepada Muslim. Manakala huruf ق merujuk kepada Ibn Majah al-Qazwini.



Manakala di dalam kitab al-Jami’ as-Soghir karangan al-Imam as-Suyuthi Rahimahullah (w. 911 h.), beliau juga turut meletakkan huruf-huruf tertentu sebagai singkatan bagi perawi. Di sisi beliau, huruf خ merujuk kepada al-Bukhari. Huruf م merujuk kepada Muslim. Manakala huruf ق membawa maksud Muttafaq ‘Alaih.

2- Perkataan Muttafaq Alaih masyhurnya merujuk kepada hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari dan al-Imam Muslim daripada Sahabat yang sama. Namun, apabila kita membaca kitab 'Muntaqa al-Akhbaar' karya Majd ad-Din Ibn Taimiyyah (datuk kepada Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah), kita akan dapati bahawa perkataan Muttafaq Alaih merujuk kepada hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad, al-Bukhari, dan Muslim.

Justeru, menjadi kesilapan ilmiah jika kita menyamakan Muttafaq Alaihi di sisi Majd ad-Din Ibn Taimiyyah dengan para Ulama' lainnya.

3- Perkataan (Munkar al-Hadis) di dalam ilmu Jarh wat Ta'dil. Di sisi al-Imam al-Mubajjal Ahmad bin Hanbal (W. 241 H.), lafaz Munkar al-Hadis merujuk kepada perawi-perawi yang sedikit khabar dan hadis-hadisnya.

Adapun perkataan Munkarul Hadis di sisi al-Imam al-Bukhari (w. 256 h.), ia seperti mana yang beliau jelaskan sendiri dengan kata-katanya: "Kesemua yang aku katakan padanya: Munkar al-Hadis, maka tidak halal meriwayatkan hadis darinya".

Oleh itu, tidak boleh disamakan perkataan Munkar al-Hadis di antara al-Imam Ahmad dengan al-Imam al-Bukhari.

4- Lafaz (Gharib) di sisi al-Imam az-Zaila'ie di dalam kitab Nashb ar-Raayah merujuk kepada: لا أصل له (tidak ada asal baginya) manakala lafaz ini berbeza dengan Gharib di sisi al-Imam at-Tirmizi. 

Justeru, terdapatnya di sana perbezaan istilah gharib di sisi az-Zaila'ie dan at-Tirmizi. Ini memerlukan, para penuntut ilmu supaya lebih daqiq (teliti) dalam menggunakan sesuatu istilah atau lafaz. Wallahua'lam.

Muhammad Fahmi Bin Rusli

Aal al-Bayt University, Jordan.
1 April 2013. 

Friday, 29 March 2013

Tempat-tempat Anjuran Untuk Berselawat.



Di dalam kitab Jala' al Afham fi Fadhli as-Solaati was Salaami 'ala Muhammad Khayr al Anaam, penulisnya al-Hafizh al-Imam ar-Rabbani Ibn Qayyim al-Jauziyah Rahimahullah  (w. 751 h.) ada menyenaraikan sebanyak 41 tempat untuk kita berselawat dan mengucapan salam ke atas junjungan besar Rasulullah  صلى الله عليه وآله وسلم . Ibn Qayyim al-Jauziyyah menyusunnya dengan meletakkan hadis-hadis sahih yang berkaitan dengan setiap tempat tersebut. Di sini saya senaraikan 20 dari 41 tempat tersebut secara ringkasan (ikhtishar) :

1- Di akhir tasyahhud.
2- Tasyahhud awal.
3- Akhir bacaan do'a Qunut.
4- Di solat Jenazah.
5- Di khutbah-khutbah.
6- Ketika Iqamah.
7- Ketika berdoa.
8- Ketika masuk dan keluar masjid.
9- Ketika berada di Shafa dan Marwah.
10- Ketika berkumpulnya orang ramai dan sebelum berpisah.
11- Ketika menyebut nama Baginda.
12- Ketika menyentuh Hajar al-Aswad.
13- Ketika berhenti di kubur Baginda.
14- Ketika keluar menuju ke pasar atau tujuan dakwah dan seumpamanya.
15- Apabila bangun dari tidur malam.
16- Ketika selesai dari talbiah (bacaan Labbaikallah)
17- Sesudah khatam al-Quran.
18- Pada hari Jumaat.
19- Ketika bangun dari majlis.
20- Ketika berjalan menuju ke masjid.

Muhammad Fahmi Bin Rusli
Aal al Bayt University, Mafraq.
29 March 2013.

Friday, 22 March 2013

Ada Apa Pada Sebuah Tangisan ?



Ada banyak sebab manusia menangis. Ada yang mengalirkan airmatanya kerana kegembiraan, ada juga yang mengalirkannya tatkala berada dalam kesedihan.

Atas sebab apa sekalipun insan itu menangis, ramai yang tidak menyedari bahawa perbuatan menangis itu sendiri merupakan suatu rahmat yang diberikan Allah pada jiwa-jiwa insan.

Dengan sebuah tangisan, ia mampu menghilangkan segala kegusaran dan kekecewaan.

Dengan sebuah tangisan, jiwa yang sebelum ini resah menjadi tenang.

Manusia itu sifatnya lemah. Tidak semua masalah dapat diceritakan kepada manusia lainnya. Lalu, insan yang lemah ini mengadu segala kesedihan dan rintihannya kepada Allah yang Maha Gagah.

Jika kita perhatikan, al-Quran di banyak tempat, memuji perbuatan insan-insan yang menangis kepada Allah. Kata Allah:

وَإِذَا سَمِعُوا مَا أُنزِلَ إِلَى الرَّسُولِ تَرَى أَعْيُنَهُمْ تَفِيضُ مِنَ الدَّمْعِ مِمَّا عَرَفُوا مِنَ الْحَقِّ يَقُولُونَ رَبَّنَا آمَنَّا فَاكْتُبْنَا مَعَ الشَّاهِدِينَ

Maksudnya: Dan apabila mereka mendengar apa yang diturunkan kepada Rasul, kamu dapat melihat mata-mata mereka mengalirkan air mata terhadap kebenaran yang telah mereka ketahui. Lalu mereka mengucapkan:

Wahai Tuhan kami, kami telah beriman maka tuliskanlah kami bersama-sama orang yang menjadi saksi (akan kebenaran Muhammad).

[Al-Maaidah: 83]

Di dalam surah al-Isra', Allah berfirman:

ويخرون للاذقان يبكون

Maksudnya: Dan mereka menyungkurkan wajah sambil menangis.

[Al-Isra': 109]

Ya, menangisnya seseorang bukan tanda kelemahan. Pada tangisan itu ada kekuatan, padanya suatu rahmat dari Tuhan.

Di dalam sebuah hadis, Rasulullah sollalahu 'alaihi wasallam bersabda, Allah berkata:

Aku haramkan neraka bagi mata yang menangis kerana takutkan Allah.

[Riwayat Ahmad, an-Nasa'ie, dan disahihkan oleh al-Hakim]

Di dalam sebuah riwayat, bahawasanya Rasulullah S.A.W menangis, bergelinangan air mata Baginda ketika melihat jenazah anaknya Ibrahim Radhiallahu 'anh.

Lalu berkata Abd ar-Rahman bin 'Auf:

Kamu juga bersedih wahai Rasulullah ?

Kata Nabi sollallahu 'alaihi wasallam:

Wahai Ibn 'Auf, sesungguhnya ia adalah suatu rahmat. Sesungguhnya mata itu menangis, jantung hati itu bersedih, dan kita tidak mengucapkan selain dari apa yang Allah redha. Sesungguhnya kami dengan pemergianmu wahai Ibrahim dalam kalangan yang bersedih.

[Riwayat al-Bukhari]

Demikianlah sifat insan. Kelemahannya, kesedihannya, menyebabkan ia menangis di hadapan Tuhan. Dia tunduk, berserah diri, memuji, dan mengucapkan syukur kepada Allah ar-Rahman.

Allah menceritakan di dalam al-Qur'an, dalam menyifatkan ciri-ciri orang beriman:


Apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat ar-Rahman, mereka tunduk bersujud, dan menangis.

[Maryam; 59]

Al-Hafizh Ibn Kathir Rahimahullah, ketika menafsirkan ayat ini beliau berkata:

Apabila mereka mendengar ucapan-ucapan Allah yang mengandungi hujjah-hujjah dan bukti-bukti yang jelas, mereka bersujud kepada Rabb mereka dalam keadaan tunduk patuh, berserah diri, memuji, serta bersyukur terhadap segala nikmat agung yang telah diberikan ke atas mereka.

[Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-Azhim]

Demikianlah ciri-ciri orang beriman, yang Allah sifatkan di dalam al-Quran. Menangis itu, merupakan suatu simbolik keimanan yang terdapat dalam diri mereka.

Mereka menangis mengenangkan kebesaran Tuhan.

Mereka menangis membenarkan kandungan al-Quran.

Mereka menangis seraya tunduk bersujud kepada ar-Rahman.

Dari situlah mereka memperoleh kekuatan dalaman, membuang segala kekusutan dan keresahan. Serta menyegarkan jiwa-jiwa insan yang kesedihan.

Belajarlah untuk menangis di hadapan Allah, nescaya anda akan mengetahui bahawa ia adalah suatu nikmat dan rahmat pemberian Allah.

Muhammad Fahmi Bin Rusli
Hayyu Dhubat, Mafraq, The Hashemite Kingdom of Jordan
23 March 2013.

Saturday, 9 March 2013

Butang Itu - Hati-Hati Dalam Menekannya.



Dunia kini, menyaksikan munculnya medium-medium penulisan yang pelbagai. Munculnya Facebook, Twitter, Blog, dan sebagainya, menjadikan kesemuanya seakan lidah kedua buat insan dalam menyampaikan kritikan dan pandangan, melontarkan idea dan sebagainya. 

Dalam keterujaan kita menulis, atas alasan apa sekalipun sesuatu penulisan itu dihasilkan, adakah kita pernah terfikir yang kita pasti akan ditanya berkenaan apa yang kita tulis ?

Jika kita memanfaatkan medium-medium ini dengan menulis perkara-perkara kebaikan, mudah-mudahan kita memperoleh ganjaran pahala dan kebaikan.

Jika kita menyalahgunakan medium-medium ini dengan menulis perkara-perkara yang boleh menimbulkan permusuhan, perbalahan, cercaan dan makian, ia secara tidak langsung hanya menambahkan saham dosa kita yang tersedia ada.

Kerana itu, hati-hatilah dalam menekan butang 'enter' di komputer, laptop, tab, dan sebagainya. Kerana sesuatu penulisan tidak akan terpapar jika kita menekan butang selainnya. Sebelum menekannya, fikirkan sejenak. Atas tujuan apa aku menulis ? Baik dalam memberi komentar, kritikan, dan seumpamanya.

Adakah supaya aku ini dilihat berilmu ?

Adakah supaya aku ini dilihat sebagai jagoan ?



Kita memohon perlindungan kepada Allah dari kefasadan niat yang menyebabkan terhasilnya penulisan yang tidak bermanfaat. Percayalah sekalian sahabat, jantung hati yang hasad akan menghasilkan penulisan yang fasad. Semoga Allah menzahirkan kebenaran di atas lisan dan penulisan kaum Mu'minin.

Benar kata Sufyan at- Tsauri:

"Tidak aku rawati suatupun melebihi rawatanku terhadap niatku".

Dalam keterujaan kita menulis, selepas segala ayat disusun kemas, dengan bahasa yang jelas. Kita terus menekan butang 'enter'. Para pembacanya membacanya dengan interpretasi yang berbeza. Ada yang bersetuju, ada yang sebaliknya. Boleh jadi tulisan yang dihasilkan akan menyebabkan mafsadah yang besar. Boleh jadi juga manfaatnya ada, sedikit cuma.

Cuma, renungkanlah kata-kata Allah ini:


Maksudnya : Pada hari ini, telah kami kuncikan mulut-mulut mereka. Kami menjadikan tangan-tangan mereka itu bercakap, dan kaki-kaki mereka menjadi saksi terhadap apa yang telah mereka kerjakan.
Surah Ya Siin (65)

Ya ! Tangan yang sama kita gunakan untuk menimbulkan kerosakan, perpecahan, cercaan, sindiran, melalui penulisan itu, tangan itu jugalah yang akan berkata-kata menceritakan segala perbuatan yang telah kita kerjakan. Semoga tangan-tangan dan kaki-kaki itu, menjadi saksi akan segala amal kebaikan yang telah kita lakukan melalui lisan, amalan, dan tulisan. Allahumma Ameen.

Tahanlah tangan itu dari menulis sesuatu yang tidak bermanfaat.



Muhammad Fahmi bin Rusli.
Aal al-Bayt University, Jordan.
10 March 2013.


Sunday, 20 January 2013

Surah al-Fatihah: Dialog Antara Hamba Dengan Allah.


Sebagai seorang Muslim, sedar atau tidak bahawa hari demi hari kita mengulangi pembacaan Surah al-Fatihah di dalam setiap Solat. Namun, adakah kita benar-benar menghayati dan memahami makna ayat yang kita baca tersebut ?

Surah al-Fatihah mempunyai nilai yang besar di dalam al-Quran. Ia merupakan surah yang paling agung di dalam al-Quran. Bahkan telah tsabit riwayat yang mengatakan apabila surah ini diturunkan, dibuka satu pintu dari langit yang belum pernah dibuka sebelum ini. Bahkan surah al-Fatihah juga merupakan satu-satunya surah yang wajib dibaca pada setiap rakaat solat. Cukuplah ini bagi menggambarkan ketinggian kedudukan surah al-Fatihah di dalam al-Quran.

Di sini saya tuliskan terjemahan surah al Fatihah:

Dengan nama Allah yang Maha Penyayang lagi Maha Pengasih.
Segala puji bagi Allah Rabb sekalian alam.
Yang Maha Penyayang lagi Maha Pengasih.
Yang Menguasai hari akhirat.
Hanya kepada-Mu kami abdikan diri dan hanya kepada-Mu kami minta pertolongan.
Berilah kami hidayah kepada jalan yang lurus.
Jalan orang-orang yang telah Kau beri nikmat kepada mereka,
bukan jalan orang-orang yang Engkau murkai bukan juga jalan orang-orang yang sesat.

(Surah al Fatihah 1-7)

Sebenarnya, surah al-Fatihah ini juga merupakan sebuah dialog di antara seorang hamba dengan Sang Pencipta. Diriwayatkan oleh al-Imam Muslim di dalam Sahihnya dari Abu Hurairah dari Nabi S.A.W kata Baginda: Allah berkata:

Aku bahagikan solat di antara-Ku dengan hamba-Ku sebanyak dua bahagian. Bagi hamba-Ku apa yang dia pinta. Apabila hamba-Ku berkata:

الحمد لله رب العالمين

Allah berkata,

حمدني عبدي

Aku telah dipuji oleh hamba-Ku.

Hamba berkata,

الرحمن الرحيم

Allah berkata,

أثنى علي عبدي

Hamba-Ku telah memuji ke atas-Ku.

Hamba berkata,

مالك يوم الدين

Allah berkata,

مجدني عبدي

Aku telah diagungkan oleh hamba-Ku.

Hamba berkata,

اياك نعبد واياك نستعين

Allah berkata,

هذا بيني وبين عبدي ولعبدي ما سأل

Ini di antara-Ku dengan hamba-Ku, buat hamba-Ku apa yang dia pinta.

Hamba berkata,

صراط الذين انعمت عليهم
غير المغضوب عليهم ولا الضالين

Allah berkata,

هذا لعبدي ولعبدي ما سأل

Ini untuk hamba-Ku, dan untuk hamba-Ku apa yang dia pinta.

Semoga bermanfaat.

Muhammad Fahmi bin Rusli,
Aal al-Bayt University, Mafraq, Jordan.

20 Januari 2013


Saturday, 19 January 2013

Kritis: Mengapa Masih Menulis ?



Timbul persoalan, dalam lambakan laman sosial yang wujud di atas muka bumi pada hari ini, mengapa kita masih terus menulis ?

Ya, dunia masa kini menyaksikan bahawa jutaan manusia telah menjadi pengguna kepada laman-laman sosial seperti Facebook, Twitter, dan Blog. Ketiganya merupakan medium penulisan utama berbanding laman sosial semisal YouTube, Instagram, dan seumpamanya.

Saya menganggap, keperluan untuk menulis di dalam medium-medium itu tetap ada sekalipun telah ramai manusia yang menggunakannya.

Pertama, setiap manusia diberi kelebihan berfikir yang berbeza-beza. Boleh jadi seorang penulis menulis dengan tajuk yang sama dengan penulis lainnya. Namun, disebabkan kemahirannya dalam mengolah tulisan, menyebut fakta dan hujah yang berkesan, ini lebih memberi manfaat kepada para pembaca, sekalipun kedua-duanya menulis dalam tajuk yang sama.

Kedua, tidak semua manusia menjadikan laman-laman sosial itu untuk menulis sesuatu yang bermanfaat. Kita dapati, tidak kurang yang menggunakannya untuk sekadar suka-suka. Orang buat Facebook, kita juga ikut melakukannya. Rakan-rakan menggunakan Twitter, kita juga tidak mahu ketinggalan. Tetapi, sebahagian orang menggunakannya tanpa tujuan. 

Cubalah kita tanamkan dalam diri, sebelum kita log in @ daftar masuk medium seperti Facebook dan Twitter, kita akan pastikan akan ada suatu manfaat yang dapat diberikan kepada rakan-rakan kita. Bukankah kita semua orang Islam ? Bukankah seorang Muslim akan memastikan dirinya memberi manfaat buat orang lain ?

Ketiga, kita dapati dalam laman-laman sosial ini, para penggunanya terdiri dari latar belakang yang berbeza. Ada orang yang mempunyai akaun Facebook, namun dia tidak memiliki akaun Twitter. Begitulah sebaliknya.  Untuk memberi lebih manfaat, kita sebagai penulis perlu menceburi apa sahaja medium yang digunakan untuk memberi manfaat. Mudah-mudahan, ada ganjaran pahala yang menanti.

Keempat, menulis ini suatu warisan silam para Ulama'. Kita menyaksikan sendiri bahawa telah banyak manfaat yang kita dapati hasil dari usaha menulis para Ulama' terdahulu. Menulis perlu ada ilmu, justeru ia menggalakkan kita menuntut ilmu terlebih dahulu sebelum menulis. Jika kita menulis kebaikan, adakah hati tidak akan merasa malu jika kita tidak mengamalkan apa yang kita tulis ? Ia dalam masa yang sama sebagai pemberi galakan untuk kita perbanyakkan amal.

Akhir kata, lihatlah bagaimana kesan besar yang dapat dihasilkan dengan menulis.

Kata al-Hafiz Ibn al-Jauzi (w. 597 h.):

Aku menulis dengan kedua jariku ini sebanyak 2000 karya penulisan, dan orang-orang yang bertaubat melaluinya sebanyak 100, 000 orang.

Wallahua'lam.

Muhammad Fahmi bin Rusli,
Aal al-Bayt University, Jordan.
20 January 2013.

Wednesday, 16 January 2013

Ikatlah Ilmu Dengan Amal.




Betapa ramai orang yang berilmu dan berbicara tentang ilmu. Namun terlalu sikit dari kalangan mereka yang beramal dengan ilmu yang dimiliki. Kita bermohon kepada Allah agar kita tidak tergolong dalam golongan ini.

Mencari dan mendapatkan ilmu itu jauh lebih mudah dari mengaplikasi dan mengamalkannya dalam diri. Kerana itu kita dapati di sekeliling kita, bahkan lebih dekat dari itu kita perhatikan diri kita sendiri. Berapa banyakkah ilmu yang kita perolehi hari demi hari yang telah diamalkan? Jika ada, tahniah ! Jika tiada, muhasabah !

Ramai orang, teruja dan bangga dengan ilmu yang dia miliki. Bercakapnya penuh hujah, dialognya ilmiah, bicaranya tidak mampu dipatah. Alhamdulillah, itu suatu kelebihan yang Allah anugerahkan kepada dirinya. Kita patut bersyukur, bukan semua insan yang mendapat kelebihan yang sama. Namun, adakah dengan kelebihan ilmu yang kita miliki seiring dengan kesungguhan dalam mengamalkannya? Anda tahu perkara ini baik, sudahkah anda lakukan? Anda tahu perkara itu buruk, sudahkah anda tinggalkan? Dengarkan nasihat ini:

Kata al-Hafiz Ibn Jauzi:

“Berhati-hatilah dari hanya terpaku pada ilmu namun tidak mengamalkannya, ini kerana keadaan yang demikian itu adalah sifat pemalas yang kronik.”

[Shaidul Khathir, Ibn Jauzi]

Kata al-Hafiz Ibn al Qayyim:

“Para Salaf tidak pernah memberi nama fiqh kecuali pada ilmu yang disertakan dengan amal.”

[Miftah Dar as-Sa’adah, Ibn Qayyim]

Nah, 

Bagaimanakah sebahagian orang yang mendabik dada mengatakan ‘aku ahli fiqh’ namun dalam masa yang sama tidak beramal dengan ilmu yang dimiliki?

Bagaimanakah sebahagian orang yang mendabik dada mengatakan ‘aku ahli al-Quran’ namun dalam masa yang sama al-Quran hanya dibaca seminggu sekali?

Bagaimanakah sebahagian orang yang mendabik dada mengatakan ‘aku ahli hadis’ namun dalam masa yang sama perbuatan ibadahnya sendiri menyelisihi Sunnah Nabi?

Ya akhi, ini musibah ! Muhasabah diri dengan nasihat ini:

Kata Hasan al-Bashri: 

“Sangat menghairankan lisan yang mengajak (kepada kebaikan), jantung hati yang mengetahui (kebaikan), namun perbuatannya menyelisihi keduanya (perkataan dan jantung hatinya.”

[Miftah Dar as-Sa’adah, Ibn Qayyim]

Lihatlah wahai teman, bagaimana hidupnya generasi awal terdahulu. Bagaimana kesungguhan mereka mengikat ilmu dengan amal. 

Kata Hasan al-Bashri:

“Seseorang dari kalangan Salaf menuntut ilmu,dan belum beberapa lama sudah dapat dilihat pengaruh ilmu dalam solatnya, kekhusyukannya, perkataannya, serta keperibadiannya.”

[Kitab az Zuhd, Ahmad bin Hanbal]

Inilah generasi yang kita cuba lahirkan, generasi yang berilmu seiring dengan ilmu yang diamalkan. Ia tidak mustahil, kerana generasi terdahulu telah berjaya membuktikan. Tidakkah kita pernah dengar, bahawa para sahabat tidak akan meneruskan bacaan al-Quran, melainkan setelah mentadabburinya, ulangkaji, serta aplikasikan ia dalam kehidupan. Mereka boleh lakukan, kita jangan pula mencari seribu satu alasan. Ikatlah ilmu dengan amal.

Muhammad Fahmi bin Rusli.
Aal al-Bayt University, Jordan.
17 January 2013.

Tuesday, 15 January 2013

Salaf Cintakan Kemasyhuran ?




Membaca perjalanan hidup para Ulama’ Salafussoleh, jiwa terasa sebak dan sesak. Hati menjadi sayu dan haru. Mereka terdiri dari kalangan mufti dan da’ie. Tetapi mereka sama sekali tidak mencari populariti dan kemasyhuran dengan lautan ilmu yang mereka miliki.

Berbeza pula halnya dengan para pendakwah di zaman sekarang. Sangat sedikit yang mengikut jejak langkah salaf dalam hal ini. Mari kita lihat adakah para Ulama’ terdahulu cintakan kemasyhuran atau tidak.

Ketika di Kufah, kitab manasik dibacakan kepada ‘Abdullah Ibn Mubarak, sehingga sampai pada sepotong hadis dan terdapat ucapan ‘Abdullah bin Al-Mubarak padanya, lalu kami mengambilnya. Beliau berkata: ‘Siapa yang menulis ucapanku ini?’ Aku [Al-Hasan, murid kepada Ibn Mubarak] katakan: ‘Penulis.’ Maka beliau menghilangkan tulisan itu dengan jari tangannya hingga terhapus, kemudian berkata: “Siapakah aku ini sehingga ditulis ucapannya?”

(Sifatu al Shafwah, Ibn al-Jauzi  5/135)

Lihatlah akhlak dan adab seorang ‘alim. Dunia mengiktiraf kesarjanaan ‘Abdullah Ibn al-Mubarak (w. 181 h.) dalam bidang hadis. Bahkan beliau merupakan Kibar al-Fuqaha’ ! Namun, dalam kedudukan sebegitu rupa, bukanlah kemasyhuran yang beliau dambakan. Beliau dahagakan redha Allah ar-Rahmaan.

Suatu hari, Imam Ahmad bin Hanbal (w. 241 h.) telah dipuji oleh seseorang dengan ucapan ‘Jazaakallahu khayran’ (semoga Allah membalas anda dengan kebaikan) atas perjuangan Islam anda. Kelihatannya, wajah Imam Ahmad menjadi muram, lalu beliau berkata: “Allah telah memberi kebaikan Islam kepada diriku. Siapalah aku ini ?”

(Siyar A’laam an-Nubala’, al-Zahabi)

Masya Allah, mulia sungguh diri mereka. Sangatlah sedikit para pendakwah semasa yang berpegang teguh dengan jalan mereka. Namun, sedikit tidak bererti tiada. Tidak disebut tidak bermakna ia tidak berlaku.

Berikut adalah akhlak dua orang Syaikh kontemporari yang jelas menunjukkan kerendahan hati mereka. Mereka ialah, as-Syaikh al-Faqih Muhammad bin Soleh al-‘Utsaimin dan as-Syaikh al-Muhaddith Muhammad Nasiruddin al-Albani rahimahumallah.

Suatu hari, di dalam majlis ceramah yang disampaikan oleh As-Syaikh Ibn al-‘Utsaimin, apabila pengerusi majlis sedang memperkenalkan biodata penceramah dengan katanya:

“As Syaikh Ibn ‘Utsaimin merupakan salah seorang ahli pembesar para Ulama’’, serta merta Syaikh al-‘Utsaimin memintas kata lelaki tersebut dengan berkata: “Cukup, cukup.” 

Masya Allah.

Kisah Syaikh al-Albani pula. Suatu hari, as Syaikh dipuji oleh seorang lelaki di dalam majlis ceramahnya. As Syaikh al-Albani mengucapkan terima kasih, lalu beliau terasa sebak dan beliau menangis. Kata beliau:

“Aku ingin mengucapkan apa yang diucapkan oleh Abu Bakar as-Siddiq apabila dipuji. Ya Allah, janganlah kau salahkan aku dengan apa yang mereka ucapkan, berikanlah buatku kebaikan terhadap apa yang mereka sangkakan, dan ampunilah aku terhadap apa yang mereka tidak ketahui.” Syaikh menangis.

Kata beliau lagi: “Bukanlah aku, seperti mana yang disifatkan, yang kalian dengari sebentar tadi. Sesungguhnya aku hanyalah seorang penuntut ilmu, tidak lebih dari itu.”

Ma sya Allah. Semoga Allah tidak menjadikan populariti dan kemasyhuran itu sebagai suatu tujuan yang didambakan. Cukuplah hanya keredhaan Allah yang kita harapkan. Semoga Allah menetapkan kita di atas jalan ini. Ameen. 

Muhammad Fahmi bin Rusli,
Aal al-Bayt University, Jordan.
16 January 2013.


Jauhi Sifat Bertangguh-Tangguh !





Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah berkata: 

“Setiap kali datangnya pembawa kebaikan, ia dihalang oleh penjaga pintu yang bernama la'alla (semoga nanti) dan 'asa (mudah-mudahan).” 

(Rujuk al-Fawaid, Ibn al-Qayyim).

Jika kita teliti kata-kata sarjana agung ini, kita dapati betapa tepat dan benarnya kata-kata ini. Perhatikan diri kita dan orang-orang di sekeliling kita. Ada tak berlaku dialog seumpama ini?

“Abu, jom pergi solat berjemaah di Masjid”. Ajak Ismail.

“Kau pergi dululah, nanti aku pergi.” Balas Abu.

Nama mungkin berbeza, namun realiti dan sikap yang sama ada pada diri sebahagian dari kita. Malangnya, sikap bermalasan atau bertangguh sebegini hanya berlaku dalam hal-hal kebaikan. Ya ! Ini fakta.

“Jom pergi Queensbay Mall, ada sale 80 % diskaunlah hari ni !” Anis mengajak rakannya Imani.

“Eh, biar betul? Kalau betul jom kita pergi. Rugi pula rasanya kalau tak pergi.” Balas Imani.

Bersegera dalam membeli belah bukan suatu kesalahan. Jual beli itu halal manakala riba itu yang haram. Persoalannya, mengapa dwi-sikap. Diajak shopping kita pantas, diajak ke masjid kita malas?


Lupakah kita pada Firman Allah di dalam surah Aal-‘Imraan: 133?:

“Dan bersegeralah kalian kepada keampunan dari Rabb kalian dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa.”


Bahkan baginda Rasulullah S.A.W juga telah mengingatkan kita ini sebagai umatnya dengan sebuah hadis:

“Bersegeralah melakukan amalan soleh, kerana akan berlakunya fitnah laksana sepotong malam yang gelap.” 

(Diriwayatkan oleh al-Imam Muslim)


Adapun al-Imam Hasan al-Basri telah berkata:

“Jangan sekali-kali menunda-nunda, kerana anda adalah pada hari ini, bukan esoknya.” 

Katanya lagi:

“Apabila anda memiliki hari esok, maka penuhilah dengan ketaatan. Apabila anda tidak hidup lagi pada keesokan hari, anda tidak akan menyesal atas apa yang anda lakukan pada hari ini.” 

(Miftah Dar as-Sa’adah, Ibn al-Qayyim).


Ayuh ambil manfaat dari kata-kata Ibn al-Jauzi Rahimahullah (W. 597 H.). Kata beliau:

“Jangan sesekali menunda-nunda waktu, kerana ia merupakan tentera iblis yang terbesar.” 

(Miftah Dar as-Sa’adah, Ibn al-Qayyim)

Kata Ibn al-Jauzi lagi:

“Telah berkahwin sifat bertangguh dengan sifat malas, kemudian melahirkan penyesalan.” 

(Al-Mudhisi, Ibn al-Jauzi)

Muhammad Fahmi Bin Rusli
Mafraq, Jordan
15 Januari 2013

Kaedah Membaca Para Ulama'



Membaca sesebuah kitab dengan berulang-ulang kali secara tidak langsung dapat menambah dan menguatkan pemahaman kita terhadap ilmu-ilmu yang terdapat di dalam kitab tersebut. Barangkali ilmu-ilmu yang kita terlepas pandang dapat kita perolehi usai pembacaan buat kali kedua dan seterusnya.

Contohnya dapat dilihat pada diri al-Imam as-Syafi’e Rahimahullah (w. 204 h.) Kata al-Hafiz Ibn Rajab al-Hanbali (w. 795 h.) :

“As-Syafi’e mengkhatamkan al-Qur’an pada bulan Ramadan sebanyak 60 kali.”  

(Lathaif al-Ma’arif, Ibn Rajab)

Justeru, tidak hairanlah beliau Rahimahullah terkenal sebagai seorang yang tersangat baik kefahamannya terhadap al-Quran. Hasil dari pembacaan yang berulang-ulang. 

Sehinggakan Imam Ahmad bin Hanbal pernah berkata:

“Aku belum pernah melihat seorang pun yang lebih faqih terhadap Kitab Allah melebihi pemuda ini (As Ayafi’e)”

Amalan membaca sesebuah kitab secara berulangkali sering diamalkan para Ulama’ dalam kehidupan mereka. Sebagai contoh dapat dilihat dalam riwayat-riwayat berikut:

Kata Abu Bakar al-Abhari:

“Aku membaca kitab ‘Mukhtasar Ibn Abi Hakam’ sebanyak 500 kali, kitab ‘Al-Asadiyyah’ sebanyak 75 kali, dan aku membaca ‘al-Muwatha’ sebanyak 45 kali, ‘Mukhtasar al-Barqi’ sebanyak 70 kali, dan kitab ‘Al-Mabsuth’ sebanyak 70 kali.” 

(Tartib al-Madaarik, al-Qadhi ‘Iyadh: 6/10)

Diceritakan bahawa al-Fairuz Abadi rahimahullah telah membaca kitab ‘Sahih al-Bukhari’ lebih dari 50 kali.

(Fihris al-Fahaaris wal Atsbaat, al-Qattani)


Muhammad Fahmi bin Rusli,
Aal- Al Bayt University, Jordan.
16 January 2013.


Iman: Dialog Ustaz Bersama Aiman



“Ustaz, apakah definisi Iman?”. Tanya seorang murid bernama Aiman kepada gurunya.

“Iman ialah, membenarkan dengan jantung hati, mengucapkan dengan lisan, dan mengamalkan dengan anggota badan.” Jawab sang ustaz dengan tenang.

Si murid melanjutkan persoalan:

“Dahulu ustaz katakan bahawa agama ini padanya al-masa’il (permasalahan-permasalahan) dan ad-dala’il (dalil-dalil), justeru apakah dalil bagi membenarkan pernyataan tersebut ustaz?”. 

Riak ingin tahu kelihatan di wajah sang murid.

Jawab sang ustaz: 

“Dalilnya ialah sabda Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam: 

“Iman itu terdiri dari enam puluh atau tujuh puluh cabang. Yang paling tinggi ialah ucapan Laa ilaaha illallah, dan yang paling rendah ialah mengalihkan suatu yang mengganggu dari jalanan, dan malu itu salah satu dari cabang keimanan.”

(Riwayat Muslim dalam Sahihnya)

“Membenarkan dengan jantung hati adalah sebahagian dari takrif iman. Contohnya yang terdapat di dalam hadis yang ustaz bacakan tadi ialah sifat malu. Kerana ia kerja hati.”

“Manakala mengucapkan dengan lisan, contoh yang terdapat di dalam hadis tersebut adalah ucapan Laa Ilaaha Illa Llah. Kerana ia kerja lisan.”

“Adapun mengamalkan dengan anggota badan, contoh yang kita dapati dari hadis tersebut ialah perbuatan mengalihkan sesuatu yang mengganggu di jalanan. Kerana ia kerja anggota badan.”

“Kamu sudah jelas Aiman?”, soal sang Ustaz.

“Alhamdulillah Ustaz, cukup jelas. Jazakallahu khayran.”

“Waiyyaak.” Balas Ustaz.


Muhammad Fahmi Bin Rusli,
Aal al-Bayt University, Jordan.
16 January 2013.

Pesanan-Pesanan Buat Wanita Beriman.



Berikut disertakan nasihat-nasihat buat wanita Muslimaat. Diambil dari ayat-ayat al-Quran yang menceritakan ciri-ciri wanita Muslimah, juga ditambah lagi nasihat-nasihat yang dipetik dari hadis-hadis Nabi serta atsar-atsar para Sahabat. Semoga bermanfaat.

1) Kata Allah di dalam al-Quran:
 
"Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isteri kamu, dan anak-anak perempuan kamu, serta isteri-isteri             orang beriman, hendaklah mereka menutup jilbab mereka ke seluruh badan mereka. Yang demikian itu agar mereka lebih mudah dikenali, agar mereka tidak diganggu, dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." 

(Surah al-Ahzab: 59)

2) Kata Allah di dalam al-Quran:

"Oleh itu maka wanita yang solehah adalah mereka yang mentaati Allah, serta memelihara diri apabila suaminya tiada, dengan apa yang telah Allah peliharakan mereka akannya".

(Surah an-Nisa': 4)


3) Kata Nabi S.A.W :

"Apabila seorang wanita telah menunaikan solat lima waktu, berpuasa pada bulan Ramadhan, memelihara kehormatan dirinya, serta mentaati suaminya. Akan dikatakan kepada wanita itu: "Masuklah ke dalam syurga dari pintu manapun yang kamu mahu". 

(Riwayat Ahmad, at-Thabrani, dan Ibn Hibban di dalam Sahihnya)



Muhammad Fahmi bin Rusli.
Aal al-Bayt University, Jordan.

15 Januari 2013

Monday, 14 January 2013

Khutbah Dari Syaitan.



Di dalam al-Quran, Allah S.W.T merakamkan sebuah kisah yang menggerunkan. Yang mana ia menceritakan perihal khutbah Iblis la'natullah 'alaih kepada para pengikutnya. Kisah ini boleh didapati di dalam surah Ibrahim ayat 22. Kata Allah S.W.T:

وَقَالَ الشَّيْطَانُ لَمَّا قُضِيَ الأَمْرُ إِنَّ اللّهَ وَعَدَكُمْ وَعْدَ الْحَقِّ وَوَعَدتُّكُمْ فَأَخْلَفْتُكُمْ وَمَا كَانَ لِيَ عَلَيْكُم مِّن سُلْطَانٍ إِلاَّ أَن دَعَوْتُكُمْ فَاسْتَجَبْتُمْ لِي فَلاَ تَلُومُونِي وَلُومُواْ أَنفُسَكُم مَّا أَنَاْ بِمُصْرِخِكُمْ وَمَا أَنتُمْ بِمُصْرِخِيَّ إِنِّي كَفَرْتُ بِمَا أَشْرَكْتُمُونِ مِن قَبْلُ إِنَّ الظَّالِمِينَ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Dan berkatalah Syaitan setelah ditetapkan segala keputusan,

"Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kalian dengan janji yang benar, dan aku juga telah memberi janji pada kalian, lalu aku memungkirinya. Dan tiadalah bagiku kuasa ke atas kalian, melainkan aku telah mengajak kalian, lalu kalian menyahut seruanku. Maka janganlah kalian menyalahkan diri aku, akan tetapi salahkanlah diri kalian. Aku tidak dapat menyelamatkan kalian dan kalian juga tidak dapat menyelamatkan aku. Sesungguhnya aku tidak membenarkan perbuatan kalian yang mensyirikkan aku (dengan Allah) sejak dahulu". Sesungguhnya bagi orang-orang yang zalim itu azab yang pedih. 

(Surah Ibrahim: 22)

Lihatlah wahai insan, bagaimana Iblis berlepas diri dengan segala kesyirikan, kejahatan, dan kemaksiatan yang dilakukan oleh para pengikutnya. Setelah dia dan para pengikutnya dari kalangan Syaitan bertungkus lumus siang dan malam dalam menyesatkan anak Adam ! Sangat malang bagi mereka yang membaca ayat ini tetapi tidak menghayatinya. Ini pengajaran yang sangat berharga diceritakan oleh Allah untuk dijadikan peringatan. Supaya kita dalam menerusi sisa-sisa kehidupan yang masih berbaki tidak terjerumus dalam belitan dan hasutan Syaitan.

Kata al-Hafiz Ibn Kathir Rahimahullah (w. 774 h.) dalam mentafsirkan ayat ini:

Allah S.W.T mengkhabarkan tentang khutbah Iblis la'natullah 'alaih kepada para pengikutnya selepas Allah selesai menghakimi para hamba-Nya. Telah dimasukkan kaum mu'minin ke dalam Syurga, dan di masukkan golongan kuffar ke dalam neraka.

Lalu Iblis bangun di hadapan mereka (kaum kuffar), Dia berkhutbah di hadapan mereka untuk menambahkan lagi kesedihan di atas kesedihan mereka, kemudharatan di atas kemudharatan mereka, dan menambahkan lagi penyesalan di atas penyesalan mereka.

Kata Iblis: "Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kalian dengan janji yang benar" iaitu di atas lisan para rasul-Nya. Dan Allah menjanjikan kepada kalian ganjaran kemenangan dan keselamatan bagi sesiapa yang mengikuti para rasul-Nya dengan suatu janji yang benar, dan perkhabaran yang benar. Adapun aku, aku memberi janji kepada kalian, tetapi aku telah mengingkarinya.

(Tafsir al-Quran al-Azhim: Jilid ke-2)

Semoga Allah tidak menggolongkan diri kita semua dari kalangan pengikut Syaitan, yang bersama-samanya di dalam neraka sebagai peneman. Ambillah ayat ini sebagai suatu peringatan dan amaran. Dan sesungguhnya telah Allah permudahkan al-Quran untuk peringatan. Maka adakah yang mahu mengambil perhatian ?

Wallahua'lam.

Muhammad Fahmi bin Rusli.
Aal- Al Bayt University, Jordan.
15 January 2013.

Dakwah Tauhid Sehingga Akhir Hayat.



Dari al Harits an Najrani, beliau berkata: “Lima hari sebelum kewafatan Rasulullah S.AW, aku mendengar Baginda bersabda:

‘Ketahuilah, sesungguhnya orang-orang sebelum kalian, mereka menjadikan kubur Nabi-nabi mereka serta orang-orang soleh di antara mereka sebagai tempat ibadah, maka janganlah kalian menjadikan kubur-kubur sebagai masjid, sesungguhnya aku melarang kalian melakukan perbuatan itu.”

(Riwayat Ibnu Abi Syaibah. Syaikh al Albani mengatakan, “Sanadnya sahih berdasarkan syarat Muslim”)

Di dalam Kitab Sahih al-Bukhari, al-Bukhari meriwayatkan sebuah hadis dari Aisyah dan Ibnu Abbas Radhiyallahu ‘anhuma, mereka berkata:

“Ketika Rasulullah Sollallahu ‘alaihi wa sallam sedang menderita sakit yang menyebabkan kematian Baginda, maka diletakkanlah sebuah kain di atas wajahnya. Jika beliau kesulitan bernafas, dibukalah kain itu dari wajahnya. Dalam keadaan demikian baginda bersabda:

‘Laknat Allah bagi orang Yahudi dan Nashrani. Mereka mejadikan kuburan Nabi-nabi mereka sebagai tempat ibadah’.

Baginda memberi peringatan terhadap apa yang mereka lakukan.”

(Fathul Bari Syarh Sahih al Bukhari)

Imam Ahmad meriwayatkan dalam Musnad-nya (no. 7353), Ibnu Sa’d, Abu Ya’la juga dalam Musnad-nya dan Abu Nu’aim dalam Kitab al Hilyah al- Awliya' dengan sanad yang sahih dari Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu. Dia mengatakan bahwa Rasulullah S.A.W bersabda:

“Ya Allah, janganlah Kau jadikan kuburku sebagai sesuatu yang disembah. Semoga Allah melaknat orang-orang yang menjadikan kubur-kubur Nabi mereka sebagai tempat ibadah.” 

Muhammad Fahmi Bin Rusli.
Aal al-Bayt University, Jordan.
15 January 2013.

Spider-Man dan al-'Ankabut.



Entri kali ini akan membicarakan soal Spider - Man dan al -'Ankabut (labah-labah). Semua kita maklum, bahawa Spider - Man adalah sebuah filem masterpiece yang dihasilkan oleh barat. Ia mengisahkan seorang adiwira yang memiliki kuasa luar biasa hebat. Dia mampu menghasilkan sarang yang kukuh lagi utuh untuk melawan musuh. Persis sarang labah-labah.

Bukanlah Spider-Man menjadi isu utama yang ingin diketengahkan di sini. Fokusnya di sini, sebagai seorang Muslim sedarkah kita bahawa al-Quran yang kita warisi zaman berzaman itu turut menceritakan tentang labah-labah dan sarangnya? Bahkan ia juga merupakan nama satu surah dari surah-surah al-Quran. Ya, Surah al-'Ankabuut.

Di dalamnya Allah mendatangkan sebuah perumpamaan yang melibatkan labah-labah dan sarangnya. Kata Allah:

مَثَلُ ٱلَّذِينَ ٱتَّخَذُوا۟ مِن دُونِ ٱللَّهِ أَوْلِيَآءَ كَمَثَلِ ٱلْعَنكَبُوتِ ٱتَّخَذَتْ بَيْتًۭا ۖ وَإِنَّ أَوْهَنَ ٱلْبُيُوتِ لَبَيْتُ ٱلْعَنكَبُوتِ ۖ لَوْ كَانُوا۟ يَعْلَمُونَ
Bandingan di antara golongan yang menjadikan pelindung mereka dari selain Allah adalah seperti labah-labah yang menjadikan sarangnya (sebagai tempat perlindungan). Sesungguhnya selemah-lemah rumah perlindungan adalah sarang labah-labah. 

(Al Ankabuut: 41)

Berdasarkan ayat ini, al-Hafizh Ibn Kathir di dalam Tafsir beliau mengatakan:

Ini adalah perumpamaan yang Allah bandingkan buat kaum Musyrikin yang mengambil 'Tuhan-tuhan' selain dari Allah. Di mana mereka mengharapkan pertolngan dan rezeki dari 'tuhan-tuhan' tersebut. Yang mana mereka berpegang teguh dengan 'tuhan-tuhan' tersebut di saat kepayahan dan kegetiran. Keadaan mereka ini saling tidak tumpah seperti sarang labah-labah pada lemahnya ia sebagai tempat perlindungan.

Kata Ibn Kathir lagi,

Jika sekiranya mereka mengetahui keadaan ini, nescaya mereka tidak menjadikan 'tuhan-tuhan' tersebut sebagai tempat perlindungan selain Allah. Keadaan ini berbeza dengan orang Muslim yang Mu'min jantung hatinya dengan Allah. Kerana mereka berpegang teguh dengan tali ikatan yang sangat kuat dan kukuh. 

(Tafsir al-Quran al Azhim, Ibn Kathir)

Kesimpulannya di sini, hakikat sarang labah-labah itu adalah lemah. Berbeza seperti yang digambarkan barat. Manusia yang menjadikan pelindungnya selain dari Allah, sama seperti lelabah yang menjadikan sarangnya sebagai tempat perlindungan. Ia tidak kukuh dan utuh, sebaliknya ia rapuh ! Wallahua'lam.

Muhammad Fahmi bin Rusli.
Aal al-Bayt University, Jordan.
15 January 2013.