Pages

Wednesday 28 November 2012

Antara 'Terbaik' dan 'Terbanyak'




Apabila kita mengajak masyarakat awam kepada beramal dengan amalan-amalan yang bertepatan dengan sunnah, kebiasaannya ajakan kita itu akan mendapat beberapa reaksi dari sebahagian mereka. Antara contohnya: 

“Ustaz, yang kami buat ini perkara baik, lagipun bukan kami bermaksiat”. Contoh lain: 

“Kami ini amalan sedikit, lainlah macam Nabi yang dosa-dosanya dah diampunkan. Apa salah kami nak buat lebih sedikit dalam beramal”.

Dalam berhadapan dengan situasi begini, hendaklah kita selaku pendakwah berhikmah dalam memberi jawapan. Jangan menyindir, apatah lagi memerli. 

Dalam dua contoh ungkapan di atas, kita tidak menafikan kebenarannya seratus peratus. Kita juga tidak membenarkannya secara total. Ruang untuk dikritik masih ada. Jawapan yang boleh diberikan adalah seperti berikut: 

1) Perkara baik yang kebanyakan masyarakat awam sangka ialah, bersolat, berzikir, puasa, dan semisalnya. Kita secara jujur tidak menafikan hal ini. Pada asalnya, perbuatan bersolat itu baik. Namun, jika ia didatangkan dengan kaifiat (tatacara) yang tiada petunjuk dari Nabi maka itu merupakan suatu yang tidak baik. Sebagai contoh, seseorang menunaikan solat dengan memulakan bersujud padanya. Sudah tentu perbuatan ini diingkari, sekalipun ia dilakukan di atas nama ibadah.

Petunjuk Nabi sollallahu ‘alaihi wasallam dapat dilihat melalui dua hadis di bawah:

Kata al-Imam al-Bukhari: Muhammad Bin Salam telah meriwayatkan kepada kami, katanya: ‘Abdah telah meriwayatkan kepada kami, dari Hisyam, dari ayahnya, dari ‘Aisyah, beliau berkata: 

“Apabila Rasulullah S.A.W memerintahkan sesuatu kepada para sahabat, maka yang diperintahkan adalah apa yang mereka mampu lakukan. Mereka berkata: “Wahai Rasulallah, kami tidaklah sebagaimana keadaan engkau, sesungguhnya Allah telah mengampunkan dosa-dosamu apa yang terdahulu dan yang terkemudian”. Mendengar itu, Rasulullah menjadi marah sehingga nampak tanda kemarahan di wajahnya, kemudian Baginda bersabda: “Sesungguhnya yang paling bertaqwa dan yang paling tahu tentang Allah di antara kalian adalah aku”.

(Fath al-Bari Syarh as-Sahih al-Bukhari, al-Hafizh Ibn Hajar al- ‘Asqalani)



Di dalam sebuah riwayat, ada sekumpulan lelaki berbincang. Kata salah seorang dari kalangan mereka: “Di manakah kita jika hendak dibandingkan dengan Rasulullah ?, Baginda telah diampunkan dosa-dosa terdahulu dan yang akan datang”. Berkata pula salah seorang dari mereka: “Adapun aku, sesungguhnya aku akan bersolat malam selamanya”. Berkata yang lain: “Aku akan berpuasa dan tidak akan berbuka”, dan berkata yang lain: “Aku pula akan mengasingkan diri dari wanita, dan aku tidak akan berkahwin selamanya”.

Bagaimana reaksi Nabi ?

Apabila Rasulullah S.A.W mendengar perkataan tiga orang lelaki ini, Baginda mengucapkan: 

“Apalah jadi dengan suatu kaum, mereka bercakap begitu dan begini. Adapun aku bersolat dan aku juga tidur, aku berpuasa dan aku berbuka, serta aku juga mengahwini wanita. Barangsiapa yang tidak mengikuti sunnahku, maka dia bukan dari golonganku".

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Di dalam hadis tersebut menceritakan mengenai beberapa orang lelaki yang ingin melakukan ibadah berikut. Solat sepanjang malam, berpuasa sepanjang hari tanpa berbuka, dan tidak mahu berkahwin. Pada neraca pemikiran kita, perkara tersebut merupakan amalan yang baik. Apa salahnya? Jika seorang bersolat sepanjang malam, berpuasa sepanjang hari, dan tidak mengahwini wanita, bukankah itu dapat mengelakkan dia dari melakukan dosa? Kita katakan, salahnya di situ adalah kerana perbuatan itu menyelisihi sunnah, dan mendapat tegahan yang jelas dari Nabi sollallahu ‘alaihi wasallam. Apa-apa yang datang dari Baginda kita terima, apa-apa yang ditegah oleh Baginda, kita berhenti dari melakukannya.

2) Di dalam sebuah atsar yang diriwayatkan oleh al-Imam az-Zahabi, menceritakan berkenaan al-Imam Fudhail Bin ‘Iyadh Rahimahullah. Suatu hari, beliau mensyarahkan berkenaan ayat “Ayyukum ahsanu ‘amala”. Kata Fudhail: Iaitu yang paling ikhlas dan paling benar. Para sahabat Fudhail bertanya: Tafsirkan kepada kami wahai Abu Ali. 

Fudhail menjawab: 

"Suatu amalan jika ia ikhlas tetapi tidak benar maka ia tidak diterima. Jika ia benar tetapi tidak ikhlas, ia juga tidak diterima. Ikhlas dilakukan kerana Allah, benar dilakukan dengan mengikuti Sunnah."

Jelas dari perkataan Fudhail, bahawa syarat penerimaan suatu ibadah ada dua. Pertama ialah ikhlas kerana Allah. Kedua, ia dilakukan dengan mengikut sunnah.

Al-Imam Muhammad bin Soleh al-‘Utsaimin Rahimahullah mengatakan: Pengajaran dari ayat ini ialah, Allah tidak menilai sesuatu ‘amalan itu berdasarkan sedikit atau banyak ia dilakukan. Tetapi Allah menilai amalan yang ‘ahsan’ iaitu yang terbaik meliputi ikhlas dan menepati sunnah.

Kata ‘Abdullah Ibn Mas’ud: 

"Bersederhana dalam as-Sunnah lebih baik dari bersungguh-sungguh dalam bida’ah."



Antara pelaku  'Amalan Terbaik' dan 'Amalan Terbanyak', siapakah juara ? Siapakah yang bakal merangkul piala ?

Wallahua’lam.

Muhammad Fahmi Rusli
Mafraq

28 November 2012




Sunday 2 September 2012

Syarat Penerimaan Sesuatu ‘Ibadah




Syarat penerimaan sesuatu ibadah itu ada dua:

1) Ikhlas kerana Allah.

2) Ittiba' (mengikuti) as-Sunnah.

Entri kali ini lebih memberikan fokus kepada syarat yang kedua, iaitu mengikuti as-Sunnah. Dalam memastikan sesuatu ibadah yang kita lakukan bertepatan dengan as-Sunnah, 6 perkara asas perlu kita ketahui agar amal ibadah yang kita lakukan tidak menyelisihi as-Sunnah:


1) Sebab:

Ini bermakna, amal ‘ibadah yang dilakukan hendaklah sesuai dengan syari’at dari sudut sebabnya.

Contoh: Seorang lelaki menunaikan solat dua raka’at setiap kali memasuki rumahnya dan menjadikannya sebagai perbuatan sunnah. Perkara seperti ini adalah suatu yang tertolak. Sekalipun solat pada dasarnya merupakan suatu yang berupa syari’at, akan tetapi apabila dikaitkan dengan sebab yang tidak bersumber dari syari’at maka ibadah tersebut tertolak.

2) Jenis:

Ini bermakna, amal ‘ibadah yang dilakukan haruslah bersesuaian dengan syari’at dari sudut jenisnya. 

Contoh: Seorang lelaki melaksanakan ‘ibadah Qurban dengan menyembelih seekor kuda. Maka hal ini adalah tertolak. Sekalipun ‘ibadah Qurban itu pada dasarnya merupakan suatu yang disyari’atkan, akan tetapi apabila ia disertakan dengan jenis haiwan Qurban yang tidak bersumber dari syari’at maka ‘ibadah tersebut tertolak.

3) Bilangan, kadar ukuran: 

Apabila seseorang melakukan ‘ibadah dengan ukuran yang lebih atau tidak bertepatan dengan kadar ukuran yang telah ditetapkan oleh syara’, maka amalan tersebut tidak diterima. 

Contohnya: Apabila seseorang berwudhu’ dengan membasuh setiap anggota sebanyak empat kali, maka basuhan yang keempat itu tidak diterima. Hal ini kerana, ia telah melebihi suatu kadar yang ditentukan syari’at.

4) Tatacara: 

Amalan seharusnya menepati tatacara yang dikehendaki oleh syara’. Justeru, sebarang tatacara yang menyelisihi tatacara yang ditetapkan syara’ adalah tidak diterima. 

Sebagai contoh: Seseorang menunaikan solat, kemudian terus bersujud tanpa melakukan ruku’. Maka hal ini merupakan suatu 'ibadah yang tidak diterima kerana menyelisishi tatacara yang ditetapkan syara'.

5) Waktu: 

Segala amal ‘ibadah hendaklah bertepatan dengan syari’at mengikut kadar waktunya. 

Contoh: Apabila seseorang menunaikan solat Subuh pada waktu ‘Asar, maka hal ini merupakan sesuatu yang tertolak. Begitu juga apabila seseorang menunaikan ‘ibadah puasa selama sebulan dalam bulan Muharram. Maka amalan ini adalah tertolak.

6) Tempat: 

Amalan mestilah menepati syari’at dari sudut tempat pelaksanannya. Justeru,segala amalan yang dilakukan di tempat yang tidak ditetapkan oleh syara’, maka amalan itu tidak diterima. 

Misalannya, seseorang menunaikan ‘ibadah Haji di Yaman. Ataupun seorang lelaki beri’tikaf di sekolah atau di pejabat, bukannya di masjid seperti yang dinyatakan syara’. Contoh lain, seseorang menunaikan ‘ibadah tawaf di Syria umpamanya. Maka hal-hal ini kesemuanya tertolak. Wallahua’lam.

Rujukan: Syarah al-Arba'in an-Nawawiyyah, Syaikh Muhammad bin Soleh al-'Utsaimin.

Muhammad Fahmi Bin Rusli,
Aal al-Bayt University, Jordan.


2 September 2012

Kisah Seorang Pencari Ilmu.




Di dalam kitab Iqaz al-Himmah oleh as-Su’aidan. Disebutkan sebuah kisah yang diceritakan oleh Fadhl Bin Sa’id. Kata beliau: 

“Ada seorang yang menuntut ilmu, namun dia sangat sukar dalam mendapatkannya. Di dalam hatinya, dia ingin berhenti belajar. Suatu hari, dia melalui air yang menghujani batu-batu besar yang berasal dari puncak gunung. Titisan air tersebut memberi bekas  (lubang) pada batu. Dalam hatinya dia berkata: “Air yang sebegini lembutnya dapat memberikan kesan terhadap batu yang sebegini keras. Demi Allah, aku akan menuntut ilmu dan akan lebih bersungguh-sungguh belajar”. Beliau pun kembali belajar, dan mendapat kesemua yang diinginkannya”.

Benar, kisah di atas ada pengajaran yang cuba disampaikan. Adakala, kita perlu bersungguh memaksa diri untuk mendapatkan sesuatu yang dihajati. Kita maklum, curahan air untuk memberi kesan kepada batu bukanlah dalam suatu tempoh yang sebentar cuma. Begitu juga dalam beribadah mahupun menuntut ilmu. Ilmu bukanlah sesuatu yang mampu dikuasai dalam masa sehari dua, tidak juga dengan sehelai dua buku yang dibaca. No pain no gain. Perjalanan menuntutnya panjang. Seumur hidup terasa kerdil jika ingin dibandingkan dengan keluasan ilmu Tuhan.

Kata ‘Abdullah Ibn Mubarak Rahimahullah: 

“Sesungguhnya orang-orang soleh sebelum kita, mereka dibantu oleh jiwa mereka untuk melakukan kebaikan. Sekarang kita tidak dapat menjadikan jiwa kita taat melainkan dengan memaksanya”. 

(Muhasabah an-Nafs, Ibn Abi Dunya).

Paksaan pada hari ini mudah-mudahan mendatangkan manfaat yang berkekalan untuk hari esok!

Muhammad Fahmi Rusli
Mafraq

2/9/2012

Al-Quran: Panduan Insan Mengatur Kompas Kehidupan.



"Makin merapat insan dengan al-Qur'an, makin mendekat dia dengan ar-Rahman".

"Makin diri dengan al-Quran tidak terikat, makin rapat Syaitan dengan diri mendekat".

Al-Quran adalah salah satu perantara di antara kita untuk menghayati dan meneliti kata-kata Sang Pencipta. Mendengar dan membacanya menjadikan jiwa berasa tenang. Apatah lagi jika ia diteliti, dan difahami. Dihayati, ditekuni, dan diulangkaji. Ar-Rahman di dalam satu firman mengatakan:

                                                       أفلا يتدبرون القرءان أم على قلوب أقفالها

Maksudnya: Apakah tidak mereka itu mentadabburi al-Qur'an, apakah jantung hati sudah terkunci ? 

(Muhammad: 24)

Al-Quran itu pedoman. Menjadikan kaum Muslimin sentiasa punya panduan dalam menentukan arah kehidupan. Bagaimana harus kita mencorak kehidupan, tujuan dihidupkan, adab makan dan berpakaian, kesemuanya dinyatakan di dalam al-Quran. Manusia yang mengamalkan apa di dalamnya akan berjaya. Kerugian terbesar bagi mereka yang mengabai dan meminggirkannya.

Kelebihan-kelebihan membaca al-Quran tersangatlah banyak. Baik fadhilat yang dinyatakan di dalam al-Quran sendiri, mahupun kelebihan-kelebihan yang diceritakan oleh Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam. Hari demi hari yang berlalu tanpa sekalipun kita membaca al-Quran padanya, menandakan jantung hati kita semakin hari semakin kotor.

Kata Sayyiduna 'Utsman Ibn 'Affan Radhiyallahu 'anh:

"Sekiranya hati kita bersih, kita tidak akan kenyang dari al-Qur'an. Aku tidak menyukai hari-hari yang aku tidak membaca mushaf al-Quran pada hari tersebut". 

(Al-Jami' Li Syu'ab al-Iman)

Di dalam sebuah hadis, Rasulullah Sollallahu 'alaihi wasallam bersabda:

"Perumpamaan orang Mukmin yang membaca al-Qur'an adalah seperti buah Utrujjah. Baunya wangi dan rasanya lazat. Perumpamaan orang Mukmin yang tidak membaca al-Quran adalah seperti buah tamar. Tiada baunya, rasanya manis. Perumpamaan orang Munafiq yang tidak membaca al-Qur'an seperti buah Hanzhalah. Tiada baunya, dan rasanya pula pahit!". 

(Riwayat Muslim: 1860)

Dalam sebuah hadis yang lain. Pada menceritakan kelebihan al-Quran. Rasulullah S.A.W mengatakan:

"Seafdhal-afdhal kalian adalah sesiapa yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya". 

(Riwayat al-Bukhari)

Di zaman ini, al-Qur'an menghadapi persaingan sengit dengan kemunculan akhbar-akhbar, majalah-majalah, facebook, twitter, dan sebagainya. Ramai manusia yang beragama Islam pada kad pengenalannya menjadikan facebook, twitter, dan sebagainya sebagai bacaan utama. Lebih lama dibuka, lebih banyak dibaca. Berjam-jam di laman sosial tersebut terasa biasa. Membaca al-Quran dalam 10 minit cuma, terasa luar biasa. Inilah fitnah bagi umat ini. Fitnah yang cuba dijadikan sebagai fitrah dan lumrah. Fitnah yang bakal menghancurkan bagi umat yang meninggalkannya secara keseluruhan!

                                                        ولقد يسرنا ألقرءان للذكر فهل من مدكر

Dan sesungguhnya telah kami permudahkan al-Qur'an buat peringatan, adakah yang mahu mengambil pengajaran?

Dan sesungguhnya telah kami permudahkan al-Qur'an buat peringatan, adakah yang mahu mengambil pengajaran?

Dan sesungguhnya telah kami permudahkan al-Qur'an buat peringatan, adakah yang mahu mengambil pengajaran?

Dan sesungguhnya telah kami permudahkan al-Qur'an buat peringatan, adakah yang mahu mengambil pengajaran?

(Surah al Qamar: 17, 22, 32, 40)


Tuesday 28 August 2012

Agungnya Kasih Sayang Itu.




Di antara sifat keagungan Allah Jalla wa 'Ala ialah, Dia bersifat Ar-Raheem. Maha Pengasih. Dia kasih kepada setiap hamba-hambaNya yang beriman. Di antara tanda keluasan kasih sayangNya terhadap para hambaNya dapat kita lihat menerusi firmanNya ini:



Maksudnya: "Katakanlah (Muhammad), wahai sekalian hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kalian berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampunkan keseluruhan dosa, sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang". 

(Az-Zumar: 53)

Al-Hafizh Ibn Kathir Rahimahullah ketika menafsirkan ayat ini beliau berkata:

"Ayat yang mulia ini merupakan satu seruan kepada seluruh pelaku maksiat, mencakupi orang-orang kafir dan selain mereka untuk bertaubat dan kembali menyerah diri kepada Allah. Ayat ini mengkhabarkan bahawa sesungguhnya Allah itu mengampunkan kesemua dosa bagi sesiapa yang bertaubat dan kembali dari dosa tersebut. Baik apa sahaja dosa sekalipun, betapa banyak sekalipun, meskipun ibarat buih di lautan".

(Tafsir al-Qur'an al-'Azhim, al-Hafiz Ibn Kathir)

Alangkah besar dan luasnya kerahmatan Allah. Dia membuka seluas pintu kepada hambaNya yang berdosa dan penuh noda. Asalkan mereka bertaubat dan kembali kepadaNya. Siapakah yang mampu menjamin dirinya terpelihara dari dosa dan maksiat? Siapakah yang mampu menjamin semua itu? Allah mengetahui hakikat ini, Dia menerima para hambaNya yang benar-benar ingin kembali kepadaNya. Janganlah kalian berputus asa dari rahmat Allah.

Lihatlah contoh seorang insan yang kembali mencari Tuhan. Benar-benar dia ingin bertaubat setelah terlalu banyak dosa yang dibuat.

Di dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim, diriwayatkan dari Abu Sa'id Radhiyallahu 'anh, dari Rasulullah S.A.W. Baginda menceritakan tentang seorang lelaki yang telah membunuh sebanyak 99 nyawa. Kemudian dia menyesal dan bertanyakan kepada seorang 'abid dari kalangan ahli-ahli 'ibadah Bani Israil. "Masih adakah baginya taubat"? 'Abid tersebut menjawab: "Tidak".

Lelaki tersebut kemudian membunuh 'abid tersebut dan genaplah seratus orang yang dibunuhnya. Kemudian orang tersebut menanyakan seorang 'alim dari kalangan ulama' mereka. "Masih adakah baginya taubat"? Jawab 'alim tersebut: "Siapakah yang menghalang di antara engkau dengan taubat"? Kemudian 'alim tersebut memerintahkannya pergi ke sebuah kampung di mana dia boleh ber'ibadah kepada Allah. Orang itu pergi ke kampung tersebut dan kematian menjemputnya di pertengahan jalan.

Malaikat rahmat dan Malaikat azab berbantahan berkenaan orang tersebut. Lalu Allah memerintahkan mereka untuk mengukur jarak antara kedua tempat tersebut. Tempat yang lebih berdekatan itulah tempat dia dinisbahkan. Setelah diukur ternyata dia lebih dekat dengan kampung yang ingin ditujunya. Malaikat rahmatlah yang memegang jiwa orang tersebut. Sekali lagi keluasan rahmat Allah terpancar dari kisah ini. Maka janganlah kalian berputus asa dari rahmat Allah.

Akhir kata, sama-sama kita hayati sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam at-Tirmizi berikut:

Dari Anas Radhiyallahu 'anhu berkata, aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda:

"Allah Ta'ala berkata: 

"Wahai anak Adam, sesungguhnya engkau selama mana meminta kepadaKu dan berharap kepadaKu, akanKu ampunkan kamu atas apa sahaja yang ada padamu dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam sekiranya dosa-dosamu mencecah langit, kemudian engkau memohon keampunan dariKu, nescaya Aku ampunkan.Wahai anak Adam, sekiranya engkau datang kepadaKu dengan kesalahan yang memenuhi bumi, kemudian engkau bertemu denganKu dalam keadaan tidak mensyirikkanKu, akan Akan datangkan kepadamu keampunan yang seluas bumi". 

Kata at-Tirmizi hadis ini Hasan.

Maka janganlah kalian berputus asa dari rahmat Allah. Bertaubat dan kembalilah kepadaNya.

Muhammad Fahmi Bin Rusli,
Aal al-Bayt University, Mafraq, Jordan.
29/8/12.

Monday 27 August 2012

Hidayah, Ilmu, Hujan, dan Tanah.



Di dalam kitab Sahih al-Bukhari, penulisnya al-Imam al-Bukhari rahimahullah telah meletakkan suatu bab yang bertajuk 'Bab kelebihan orang yang mempelajari ilmu dan mengajarkannya'. Manakala hadis yang dipilih oleh beliau di dalam bab ini adalah hadis berikut:

Nabi Sollallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Perumpamaan apa yang Allah utuskan aku dengannya, di antara hidayah dan ilmu adalah seumpama hujan lebat yang turun membasahi bumi. Ada di antaranya tanah yang subur, yang mampu menyerap air lalu menumbuhkan tumbuh-tumbuhan dan rerumput yang banyak. Ada juga di antara tanah tersebut merupakan tanah kering yang mampu menakungkan air, lalu Allah memberikan manfaat kepada manusia. Mereka minum, mereka mengambil air, dan bercucuk tanam dengannya. Hujan turun membasahi tanah yang lain. Sesungguhnya ia adalah tanah yang tandus dan gersang, ia tidak mampu menakungkan air, tidak juga ia menumbuhkan tumbuh-tumbuhan. Demikian itulah perumpamaan sesiapa yang memahami agama Allah, dan dia memanfaatkan apa yang Allah utuskan daku dengannya. Dia mempelajari ilmu dan mengajarkannya. Dan perumpamaan bagi sesiapa yang tidak mengangkat kepalanya (tidak mempedulikannya), dia tidak akan mendapat hidayah Allah, yang mana aku diutuskan dengannya".

Difahami dari hadis ini, Rasulullah Sollallahu 'alaihi wasallam membuat sebuah perumpamaan yang menarik dalam menerangkan tiga golongan:

1) Golongan yang mempelajari ilmu, memanfaatkannya, dan mengajarkan pula kepada orang lain. Golongan ini persis tanah yang subur. Ia bukan sahaja mampu menyerap air, bahkan bermanfaat pula ia dengan menumbuhkan tumbuh-tumbuhan dan rerumput yang banyak.

2) Golongan yang mempelajari ilmu, mungkin mereka tidak mengamalkan perkara-perkara sunatnya. Namun dalam masa yang sama mereka menyebarkan ilmu tersebut kepada orang lain. Maka mereka seumpama tanah kering. Walau tidak mampu menyerap air, ia mampu menakung air. Berguna ia kepada manusia yang mana mereka mampu minum, mengambil air, dan bercucuk tanam menggunakan air tersebut.

3) Golongan yang mendengar ilmu, tetapi tidak mengamalkannya. Tidak juga mereka menyebarkan ilmu tersebut. Perumpamaan yang sesuai buat mereka adalah ibarat tanah yang tandus dan kontang. Gersang. Walau ia juga turut menerima hujan, namun tidak mampu menyerap atau menakungnya. Tidak mampu juga untuk menumbuhkan tumbuhan dan rerumput yang segar. Tiada manfaat pada diri mereka.

Al-Imam al-Qurthubi rahimahullah, ketika mengulas hadis ini beliau mengatakan:

"Nabi sollallahu 'alaihi wasallam membuat sebuah perumpamaan bagi Agama yang Baginda bawakan dengan hujan yang turun pada saat manusia sangat memerlukannya. Begitulah keadaan manusia sebelum Baginda diutuskan. Sebagaimana hujan dapat menghidupkan negeri-negeri yang mati, demikian juga ilmu-ilmu agama dapat menghidupkan hati-hati insan yang mati. Kemudian orang ramai yang mendengar ilmu diumpamakan oleh Baginda dengan tanah yang beraneka ragam yang dibasahi oleh air hujan tersebut".

Wallahu A'lam,

Muhammad Fahmi Bin Rusli,
28/8/12

Saturday 25 August 2012

Lafaz Niat Suatu Syari'at?




“Ustaz, betulkah kalau kita lafazkan niat tetapi kita tidak menyebut perkataan ‘fardhu’ maka solat kita menjadi tidak sah? Sebab ada ustaz yang cakap tidak sah solat jika tidak melafazkan ungkapan fardhu”.

Ini merupakan soalan yang diajukan kepada saya usai kuliah bersama kaum ibu pada Ramadhan yang lalu. Nampak benar riak ingin tahu yang tinggi pada wajah penyoal. Manakan tidak. Pertama, kerana 'fatwa' itu seakan pelik. Kedua, disampaikan pula oleh seseorang yang bergelar Ustaz.

Dalam mengulas isu ini, tidak dapat tidak kita perlu merujuk kembali kepada al-Qur'an dan as-Sunnah. Kerana niat adalah ibadah dalam Agama. Manakala al-Quran dan as-Sunnah adalah kayu ukur dalam hal ehwal ibadah.

Soal lafaz niat, hadis Nabi terang-terang menjelaskan bahawasanya setiap amalan itu berdasarkan niat. Niat merupakan suatu yang berbeza dengan lafaz niat. Niat itu tempatnya di hati, manakala lafaz niat itu tempatnya di lidah.



Mari kita lihat penjelasan yang dibuat oleh al-Hafizh Ibn al-Qayyim di dalam kitabnya Zaad al-Ma'ad berkenaan hal ini. Kata beliau rahimahullah:

"Adapun Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam apabila bangun mendirikan solat, Baginda mengucapkan Allahu Akbar. Baginda tidak mengucapkan sesuatupun sebelumnya dan sekalipun tidak melafazkan niat. Baginda tidak menyebut sahaja aku solat kerana Allah begini, menghadap qiblat, sebanyak 4 raka'at, menjadi imam atau ma'mum, dan Baginda tidak menyebut aku menunaikan atau qadha'. Inilah 10 bida'ah yang tidak dinaqalkan dari Baginda Nabi oleh seorangpun dengan sanad yang sahih, dhaif, dan tiada suatu lafaz pun dari Baginda dengan sanad yang mursal. Bahkan tiada juga dari para sahabat Baginda, dan tidak dianggap baik oleh seorang pun dari kalangan Tabi'in dan tidak pula oleh Imam yang empat (Abu Hanifah, Malik, As-Syafi'e, Ahmad). 

Sebahagian mutaakhirin (golongan terkemudian) terpengaruh dengan ungkapan as-Syafi'e berkenaan solat. Di mana kata as-Syafi'e: "Sesungguhnya ia (solat) tidak sama dengan puasa. Ia tidak dimasuki melainkan dengan az-Zikr". Maka yang disangkakan zikir itu adalah orang bersolat perlu melafazkan niat. Sesungguhnya, zikr yang dimaksudkan oleh as-Syafi'e adalah Takbirat al-Ihram".

Wallahua'lam.
Muhammad Fahmi Bin Rusli,
Aal al-Bayt University.
26/8/12.

Wednesday 27 June 2012

Kembara ‘Ilmu - Inspirasi Dari Salafussoleh




Ini merupakan kesinambungan dari artikel lepas yang bertajuk ‘Kembara ‘Ilmu - Juhud Suatu Tuntutan’. Cumanya, entri kali ini lebih tertumpu kepada contoh-contoh yang telah dilakukan oleh Salafuna as-Soleh dalam pengembaraan mencari 'ilmu. Kisah-kisah mereka pencetus inspirasi. Inspirasi penyuntik kekuatan diri. Inilah yang dinamakan Inspirasi dari Salafussoleh.

1) Kata Abu Darda’ Radhiyallahu ‘anhu: “Seandainya aku mendapati suatu ayat dari al-Qur’an yang tidak aku fahami, dan tiada seorang yang dapat memberitahukannya melainkan seorang yang berada di ‘Barkul Ghamad’ (nama tempat yang jaraknya dengan Makkah sejauh lima malam) nescaya aku akan menjumpainya”. 

2) Kata Sa’id Ibn al-Musayyib: “Aku sudah terbiasa melakukan rihlah berhari-hari untuk mendapatkan sebuah hadis”.

3) Kata Abu al-‘Aliyyah: “Kami di Bashrah mendengar ada sebuah hadith pada sahabat-sahabat Rasulullah Sollallahu ‘alaihi wasallam. Kami tidak redha, sehinggalah kami pergi ke Madinah untuk mendengarnya secara langsung”.

4) Ibn Mandah mencari ‘ilmu sejak berusia 20 tahun. Beliau kembali ke daerahnya ketika berusia 65 tahun. Beliau melakukan kembara selama 45 tahun. Beliau segera bernikah dan memiliki beberapa orang anak dan banyak mengajarkan hadith.

5) ‘Abdan al-Juwaliqi menceritakan dirinya yang melakukan kembara ke bumi Bashrah sebanyak 18 kali untuk mendapatkan hadith dari Abu Ayyub as-Sakhtiyani.

6) Al-Imam Abu Sa’id as-Sam’ani melakukan kembara ‘ilmu menuju lebih dari 100 kota. Rihlah terpentingnya ada tiga. Pertama, selama 10 tahun. Kedua, selama 6 tahun. Seterusnya selama 4 tahun.

7) Imam Ya’qub Bin Sufyan melakukan kembara mencari ‘ilmu selama 30 tahun.

8) Kata al-Hafizh Ibn al-Jauzi: “Imam Ahmad telah mengelilingi dunia sebanyak dua kali sehingga dia dapat menulis kitabnya al-Musnad.

9) Kata Abu Hatim ar-Razi: “Pertama kali aku melakukan rihlah untuk mendapatkan hadith selama 7 tahun”.

10) Imam Baqi Bin Mikhlad melakukan rihlah sebanyak dua kali. Dari Mesir ke Syam. Kemudian dari Hijaz ke Baghdad. Kembara pertama selama 14 tahun. Kembara kedua selama 20 tahun berturut-turut.

Kita bagaimana? Bernilai lagikah sebuah pengembaraan demi secebis ilmu?

Rujukan:

1) Kitab al-Bidayah wan-Nihayah.
2) Kitab al-Bidayah wan-Nihayah.
3) Al-Kifayah Fi ‘Ilmi Riwayah.
4) Tazkiratul Huffadz.
5) Tazkiratul Huffadz.
6) Muqaddimah at-Tahbir Li Mu’jam al-Kabir.
7) Shaid al-Khathir.
8) Al-Jarh wa Ta’dil.
9) Tazkiratul Huffadz.

Muhammad Fahmi bin Rusli.
Aal al-Bayt University.

Tuesday 26 June 2012

Beransur-Ansur Dalam Pemilihan Kitab (1)



Kitab-kitab cadangan,

‘Ilmu Fiqh:

1) Ad-Durar al-Bahiyyah, karya al-Imam as-Syaukani.
2) Syarah al-Mumti’ ‘ala Zaad al-Mustaqni’, Ibn al-‘Utsaimin.
3) Al-Mughni, karya Ibn Qudamah al-Maqdisi.
4) Al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, Imam an-Nawawi.

Sirah Nabawiyyah:

1) Ar-Raheeq al-Makhtoum, Syaikh Shafiy ar-Rahman al-Mubarakfuri.
2) Hadza al-Habib Ya Muhib, Syaikh Abu Bakar al-Jaza’iri.
3) As-Sirah an-Nabawiyyah, karya Ibn Kathir.
4) Zaad al-Ma’ad, karya Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah.

Biografi Ulama’:

1) Shuwar Min Hayaat as-Sahabah.
2) Ar-Riqqah wal-Buka’, Ibn Qudamah.
3) Kitab az-Zuhd, Imam Ahmad.
4) Al-Bidayah wan-Nihayah, Ibn Kathir.
5) Siyar A’laam an-Nubala’, az-Zahabi.
6) Tarikh Baghdad, al-Khatib al-Baghdadi.

Pendidikan keimanan:

1) At-Tibyan Fi Adab Hamalat al-Qur’an, karya an-Nawawi.
2) Mukhtasar Minhaj al-Qasidin, al-Maqdisi.
3) Al-Fawa’id, Ibn al-Qayyim.
4) Shaid al-Khathir, Ibn al-Jauzi.
5) At-Takhwif min an-Naar, Ibn Rajab al-Hanbali.
6) Madarij as-Saalikin, karya Ibn al-Qayyim.

Wallahu A’lam.


Muhammad Fahmi Bin Rusli
Hayyu Dhubath, Mafraq


26 Jun 2016

Beransur-Ansur Dalam Pemilihan Kitab.



Beransur-ansur dalam pemilihan kitab.

Sebahagian penuntut ‘ilmu yang mempunyai semangat tinggi dalam meraih ‘ilmu, mereka kadangkala tergesa-gesa dengan memulai pembacaan menggunakan kitab-kitab besar semacam kitab al-Mughni karangan Ibn Qudamah, Majmu’at al-Fatawa karya Syaikhul Islam, juga Fath al-Bari karangan al-Hafizh Ibn Hajar al-‘Asqalani. Tanpa mereka sedari, kitab-kitab sebegini punya istilah-istilah dan rumusan yang tersendiri. Sukar difahami maknanya bagi mereka yang berada di peringkat permulaan. Seharusnya dia menapaki tangga ‘ilmu ini sedikit demi sedikit. Dimulai dengan kitab-kitab kecil, seterusnya diikuti dengan kitab-kitab pertengahan. Kemudian barulah dia meniti serba sedikit kitab-kitab yang besar.

Kitab-kitab cadangan,

1) Al-Qur’an al-Karim.

2) Ilmu Tafsir:

- Tafsir al-Baghawi, karya al-Imam al-Baghawi.
- Zubdatut Tafsir, karya Syaikh Muhammad Bin Sulaiman al-Asyqar.
- Taisir Karim ar-Rahman, karangan Syaikh ‘Abd ar-Rahman Bin Nasir as-Si’di.
- Fath al-Qadir, karya as-Syaukani.
- Tafsir al-Qur’an al-‘Azhim, al-Imam Ibn Kathir.
- Tafsir at-Thabari, Ibn Jarir at-Thabari.
- Tafsir al-Qurthubi.

3)’Ilmu Hadith dan Syarahannya:

- Hadith al-Arba’in, al-Imam an-Nawawi.
- Syarah al-Arba’in, Ibn Daqiq al-‘Eid.
- ‘Umdat al-Ahkam, Abd al-Ghani al-Maqdisi.
- Taisir al-‘Allam Syarh ‘Umdat al-Ahkam, karya Syaikh al-Bassam.
- Bulugh al-Maram, karangan Ibn Hajar.
- Subul as-Salam syarah Bulugh al-Maram, karya as-Shan’ani.
- Al-Muntaqa, karangan Majd ad-Din Ibn Taimiyyah (datuk kepada Syaikh al-Islam).
- Nail al-Authar karya as-Syaukani.
- Jami’ al-‘Ulum wal-Hikam, karya Ibn Rajab al-Hanbali.
- Shahih al-Bukhari bersama syarahnya Fath al-Bari, karya al-Hafizh Ibn Hajar.
- Shahih Muslim bersama syarahnya oleh al-Imam an-Nawawi.
- Sunan Abu Dawud dengan syarahnya ‘Aun al-Ma’bud.
- Sunan at-Tirmizi dengan syarahnya Tuhfat al-Ahwazi.
- Sunan an-Nasa’ie.
- Sunan Ibn Majah.
- Musnad al-Imam Ahmad.

4) Ilmu ‘Aqidah:

- Ushul at-Tsalatsah, Syaikh Muhammad Ibn ‘Abd al-Wahhab. Berserta syarah Syaikh al-‘Utsaimin.
- A’laam as-Sunnah, karya al-Hafizh al-Hikami.
- Lum’at al-I’tiqad al-Hadi, karya Imam al-Maqdisi serta syarahannya oleh Syaikh ‘Abdullah Bin Jibrin.
- Kitab at-Tauhid karya Syaikh Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab serta syarahnya Fath al-Majid.
- Syarah Kitab at-Tauhid karangan Syaikh Ibn al-‘Utsaimin.

Kisah Seorang Tokoh Hadis & Sasterawan




Diceritakan di dalam kitab Wafayat al-A’yaan karangan Ibn Khalliqan, di mana beliau menceritakan perihal seorang tokoh hadis dan sasterawan yang bernama Abu al-Hasan al-Qali. 

Katanya: “Abu al-Hasan al-Qali merupakan seorang tokoh hadis dan sasterawan. Beliau memiliki salah satu cetakan terbaik dari kitab al-Jamharah karangan Ibn Darid. Beliau terpaksa menjual kitab tersebut disebabkan kefaqirannya. Sebelum menjual kitab tersebut, beliau telah menulis sebuah bait dan diletakkannya di dalam kitab tersebut." 

Bait tersebut berbunyi:

Aku bersamamu selama 20 tahun,
Kemudian aku menjualnya,
Sangatlah panjang kerinduanku,
Kepadanya setelahnya,
Aku tidak pernah menjangka akan menjualnya,
Sekalipun hutang-hutangku menyeksa di dalam penjara,
Namun kerana kelemahan, kefaqiran, dan puteri puteriku,
Yang masih kecil menangis,
Yang menangis meminta padaku,
Maka aku pun rela melepaskannya.

Beliau kemudiannya menjual kitab tersebut dengan harga 60 dinar yang dibeli oleh as-Syarif al-Murtadha. Ketika membuka kitab tersebut, beliau mendapati bait-bait yang menyedihkan terdapat di dalamnya. Beliau menyerahkan kitab tersebut kepada Abu al-Hasan al-Qali tanpa mengambil kembali wangnya.

(Wafayat al-A’yaan, Ibn Khalliqan)

Muhammad Fahmi Bin Rusli,
Aal al-Bayt University, Jordan.


26 Jun 2012

Kisah Salaf Menuntut ‘Ilmu Ketika Sakarat al-Maut.



Kisah Salaf Menuntut ‘Ilmu Ketika Sakarat al-Maut.

1) Muhammad Ibn Jarir at-Thabari.

Dari al-Mu’afa Bin Zakariyya, dari sebahagian orang yang terpercaya bahawa beliau berada di sebelah Abu Ja’far Bin Jarir at-Thabari sesaat sebelum beliau wafat. Ibn Jarir diingatkan akan sebuah do’a dari Ja’far Bin Muhammad. Beliau meminta pena dan kertas, kemudian beliau menulis do’a tersebut. Beliau ditanya: “Wahai Imam! Apakah anda masih menulis dalam keadaan seperti ini?”. Beliau berkata: “Sayugianya seseorang tidak meninggalkan mencari ‘ilmu, sehingga dia mati”.

2) Al-Imam Abi Yusuf al-Qadhi.

Ibrahim bin Jarrah menceritakan: 

“Al-Imam Abu Yusuf al-Qadhi menderita sakit menjelang kematiannya. Aku datang menjenguknya dan aku dapati beliau dalam keadaan pengsan. Ketika sedar, beliau berkata: “Apa pendapatmu berkenaan masalah ini dan ini?”. Aku berkata: “Wahai Imam, dalam keadaan seperti ini?”. Beliau berkata: “Tidak mengapa, kita belajar semoga hal itu dapat menyelamatkan seseorang”. Kemudian beliau bertanya: “Wahai Ibrahim, manakah yang lebih utama ketika melontar jumrah, dilakukan dengan berjalan kaki atau menaiki kenderaan?”. Aku menjawabnya dan setelah itu aku meninggalkan beliau. Belumpun sampai di pintu rumahnya, aku sudah mendengar suara orang ramai menangisi beliau dan ternyata beliau sudah meninggal dunia. Semoga Allah merahmatinya”.

(Manaqib Abu Hanifah, Muwaffaq al-Makki)

Muhammad Fahmi Bin Rusli,
Aal al-Bayt University.

26 Jun 2012

Kisah Anjing Dan Singa




Di dalam kitab Shaid al-Khatir karya al-Imam al-Hafizh Ibn al-Jauzi Rahimahullah, beliau ada memberikan suatu perumpamaan yang sangat menarik berkenaan orang yang rendah keinginannya, dan sentiasa merasa puas dengan sesuatu yang rendah. Kata beliau:

Seekor anjing berkata kepada seekor singa: 

“Wahai raja binatang buas,ubahlah namaku kerana ia sangat buruk”. Kata singa: “Engkau adalah binatang pengkhianat yang tidak berhak memiliki nama selain itu”. Anjing berkata lagi: “Ujilah aku”. Singa pun memberikan kepadanya sepotong daging seraya berkata: “Simpankanlah daging milikku ini sampai esok hari, maka namamu akanku ubah”.

Anjing merasa lapar dan memandang daging dengan sabar. Ketika tidak dapat menahan laparnya, anjing tersebut berkata: “Untuk apa sebuah nama? Anjing adalah sebuah nama yang bagus”. Kemudian ia pun memakan daging itu.

Begitulah perumpamaan orang yang lemah semangatnya, yang merasa puas dengan tempat dan kedudukan yang serendah mungkin. Dia memilih kepuasan nafsu yang seketika, lebih memilih istirehat dari memilih kemuliaan. Orang yang bodoh adalah orang yang kalah sejak awal bertemu. Seperti anjing dengan singa tersebut.

(Shaid al-Khathir, al-Imam Ibn al-Jauzi)

Muhammad Fahmi bin Rusli.
Aal al-Bayt University, Jordan.


26 Jun 2016

Kembara ‘Ilmu- Juhud Suatu Tuntutan



Salaf dan Kembara,

Para Salafussoleh dan kembara mencari ‘ilmu benar-benar tidak dapat dipisahkan. Menjadi suatu lumrah bagi mereka, bermusafir ke setiap pelosok negara semata-mata ingin mendapat ‘ilmu. Baik sedikit mahupun banyak. Di mana sahaja ada ‘ilmu, segera mereka mendapatkannya. Al-Imam az-Zahabi di dalam kitabnya Siyar A’laam an-Nubala’, ketika menceritakan biografinya al-Hafizh Ibn Mandah beliau berkata: “Al-Hafizh Ibn Mandah, Abu ‘Abdillah, Muhaddith Islam. Beliau melakukan rihlah menuntut ‘ilmu ketika umurnya 20 tahun, dan dia kembali dari kembara pencarian ‘ilmunya ketika berumur 65 tahun. Rihlahnya dalam pencarian ‘ilmu adalah selama 45 tahun. Kata az-Zahabi lagi: “Aku tidak tahu seorangpun yang melebihinya dalam keluasan rihlahnya. Tiada juga yang lebih banyak hadis darinya bersama hafazannya dan ketsiqahannya. Telah sampai kepada kami bahawa bilangan gurunya seramai 1700 Syaikh”.

Kejuhudan Kita Bagaimana ?

Sewaktu aku mula-mula melangkahkan kaki ke bumi Jordan, aku benar-benar ‘kosong’ dari segala maklumat berkaitan program talaqqi, daurah ‘ilmiyyah, dan sebagainya. Aku sedar, bumi Jordan bukanlah sebuah tempat yang tersebar luas perkara-perkara seumpama ini. Ia berbeza dengan ‘Arab Sa’udi, Mesir, dan sebagainya. Namun, sedikit bukan bermakna tiada. Sedikit yang bermanfa’at jauh lebih baik dari banyak yang tiada manfa’atnya. Aku bersangka baik, mudah-mudahan akan ada beberapa Masyaikh yang akanku gali ilmu darinya Insya Allah.

Syaikh ‘Ali Hasan dan Syaikh Masyhur,

Setelah beberapa bulan di sini, Alhamdulillah aku berjumpa dengan para Masyaikh yang aku yakin dengan kebersihan ‘Aqidahnya, sahih manhajnya, tinggi ke’ilmuannya, dan elok akhlak serta keperibadiannya. Aku berpeluang menimba ‘ilmu dengan Fadhilat as-Syaikh al-‘Allamah ‘Ali Ibn al-Hasan Ibn ‘Ali al-Halabi al-Atsari Hafizhahullah. Bergetar rasa hati tatkala pertama kali mendengar ceramah beliau. Terkenang saat pertama kali aku datang ke Jordan, hati rasa sebak. Rasa pilu itu hadir. Ia berbisik: “Inilah bumi kewafatan al-Imam al-Albani Rahimahullah, tokoh hadis yang sangat hebat !. Karangannya tersebar merata dunia. Miskinlah perpustakaan yang tidak memiliki walau sekarya kitabnya. Sangat tinggi ke’ilmuannya. Masya Allah. Beliau Alhamdulillah sempat mewariskan ilmunya kepada para Thullab al-‘Ilmi di Jordan. Alhamdulillah,dari situlah lahirnya ke’ilmuan dan ketokohan guru kami Fadhilat as-Syaikh al-‘Allamah ‘Ali Hasan al-Halabi dan Fadhilat as-Syaikhina al-‘Allamah Masyhur Bin Hasan Aali Salman Hafizhahumallah. Aku berpeluang berguru dengan keduanya, bukan sahaja ‘ilmunya yang cuba aku manfa’atkan. Bahkan akhlak keduanya turut aku ambil sepanjang ceramah yang mereka sampaikan.

Salaf Menjadi Inspirasi,

Sementara aku berpeluang mengambil dan menimba segala ‘ilmu di bumi Jordan ini, maka aku perlu juhud. Juhud itu payah dan susah! Ia perlukan pengorbanan. Tika aku lemah, aku merujuk pada sirah Salaf al-Ummah. Keadaan mereka lagi susah berbanding diriku. Pun mereka semangat, pun mereka kuat. Kekuatan ini yang aku perlukan sebagai pendorong semangat. Semoga aku tabah dan gagah. Semoga Allah S.W.T berikan kekuatan untuk aku terus dan terus mencari ‘ilmu. Rihlah itu perlu, kejuhudan itu perlu. Itu budaya turun-temurun para pencari ‘ilmu. Semoga aku tergolong dalam kalangan mereka yang juhud. Insya Allah.

Muhammad Fahmi bin Rusli,
Aal al-Bayt University, Jordan.

Penulisan dan Dakwah – Antara Hobi dan Amanah.



Objektif Penulisan,

Ada pelbagai sebab manusia menulis. Sebahagian mereka menjadikan medium penulisan sebagai tempat untuk memberikan pandangan dan kritikan. Ada juga yang menjadikannya sebagai suatu cara untuk meluahkan perasaan. Tidak kurang juga yang menjadikannya sebagai suatu sarana dari sarana-sarana dakwah.

Salaf dan Penulisan,

Para Sarjana Islam terdahulu, mereka mempunyai kejuhudan yang sangat hebat di dalam bidang penulisan. Sehinggakan terdapat sebahagian dari mereka yang memperuntukkan waktu  khas untuk menulis. Abu ‘Ubaid Ibn al-Qasim sebagai contoh. Diceritakan oleh az-Zahabi di dalam kitabnya Siyar A’lam an-Nubala’ bahawa Abu ‘Ubaid al-Qasim membahagikan malamnya kepada tiga bahagian. Sepertiga untuk solat, sepertiga untuk tidur, dan sepertiga lagi untuk menulis kitab. Tokoh lain yang boleh dicontohi ialah, al-Imam Al-Hafizh Ibn al-Jauzi. Beliau Rahimahullah digambarkan sebagai seorang individu yang sangat banyak hasil penulisannya. 

Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah dalam menceritakan perihal Ibn al-Jauzi, beliau mengatakan: 

“Syaikh Abu al-Faraj (Ibn al-Jauzi) seorang mufti yang banyak menulis. Beliau mempunyai karya penulisan dalam tema yang pelbagai. Aku cuba menghitungnya, dan aku melihatnya lebih dari 1000 karya penulisan”.

Kesan Da’wah Melalui Penulisan,

Kita seharusnya bersyukur. Disebabkan ‘hobi’ para  Ulama’ terdahulu dalam bidang penulisan, kita menikmati hasilnya. Kita peroleh manfaatnya. Kita maklum, para Ulama’ terdahulu menulis atas tujuan dakwah. Ini tidaklah bermaksud berdakwah semestinya hanya dengan menulis. Tidak, ini suatu perkara yang perlu dibeza. Lihatlah keberhasilan dakwah melalui penulisan sebagaimana yang diceritakan oleh al-Hafizh al-Imam Ibn al-Jauzi. Kata beliau rahimahullah: “Aku menulis dengan dua jariku ini sebanyak 2000 jilid kitab, dan orang yang bertaubat melalui tanganku ini sebanyak 100,000 orang”. Ya, begitulah hebatnya penangan penulisan. Hebatnya kualiti sesebuah tulisan, ramailah insan yang akan terkesan. 

Realiti kini,

Itu semua berlaku ratusan tahun dahulu, di zaman yang sangat sedikit kemudahan menulisnya. Mungkin hanya pensel dan kertas. Namun usaha mereka, juhud mereka, melebihi kita yang berada di zaman moden ini. Kini, kita punya pelbagai medium untuk menulis. Adanya surat khabar, Facebook, Twitter, blog, dan sebagainya. Kemudahan sudah ada, terpulang kepada kita cara untuk memanfaatkannya. Ulama’ terdahulu sudah punya sumbangan, kita pula apa yang mampu untuk diberikan?

Saham Da’wah,

Dalam keterujaan kita menulis (di mana-mana medium penulisan), alangkah eloknya jika diselitkan serba sedikit unsur-unsur dakwah di dalam hasil penulisan kita. Tinggalkanlah menulis suatu yang tidak bermanfa’at, lawak-lawak yang lagha dan sebagainya. Dahulu saya ada menulis: “Bidang penulisan juga merupakan faktor penyumbang dosa dan pahala seseorang. Di facebook, status-status kitalah menjadi saham kepada kita. Jika kita memanfaatkannya untuk kebaikan (dakwah umpamanya), mudah-mudahan beroleh pahala. Sebaliknya, jika status-status kita cenderung ke arah makian, cercaan, meng’aibkan dan memecahbelahkan, secara tidak langsung kita telah menambahkan lagi saham dosa kita yang sedia ada”.

Penulisan dan Kritikan,

Bidang penulisan juga adakalanya digunakan sebagai tempat melemparkan kritikan terhadap seseorang atau sesebuah kumpulan. Tidak kurang juga para Ulama’ kita melakukannya. Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah umpamanya. Beliau menghasilkan kitab beliau Minhaj as-Sunnah Fi Naqhdi Kalam as-Syi’ah wal-Qadariyyah sebagai membantah dan mengkritik tokoh-tokoh Syi’ah Rafidhah pada zamannya. Kritikan melalui penulisan ini sememangnya punya manfaat besar buat Agama ini. Kita mampu menjawab dan membantah segala hujah-hujah Syi’ah dengan maklumat yang kita perolehi dari kitab ini. Sememangnya kita tahu bahawa Syi’ah merupakan antara musuh besar Ahl as-Sunnah wal-Jama’ah zaman berzaman. Justeru, segala jawapan untuk membantah kumpulan ini sememangnya sangat-sangat diperlukan.

Kesimpulan, 

Atas sebab apa sekalipun kita menulis, janganlah sesekali kita abaikan mesej dakwah di dalam penulisan kita. Ikatlah penulisan itu dengan da’wah. Ikhlaskan niat kerana ALLAH. Mudah-mudahan beroleh pahala. Percaya dan yakinlah, Allah itu tidak pernah menganggap sia-sia akan usaha hamba-hambaNya dalam menyebarkan risalah da’wah. Walau kecil pada pandangan kita, besar nilaiannya di sisi ALLAH. Jangan mengalah dalam da’wah. Semoga kita cenderung menjadikan bidang penulisan sebagai salah satu sarana da’wah. Hobi menulis harus diikat dengan amanah da’wah! Wallahu A’lam.

Muhammad Fahmi bin Rusli.
Aal al-Bayt University, Jordan.


26 Jun 2012