Objektif Penulisan,
Ada pelbagai sebab manusia menulis. Sebahagian mereka menjadikan medium
penulisan sebagai tempat untuk memberikan pandangan dan kritikan. Ada juga yang
menjadikannya sebagai suatu cara untuk meluahkan perasaan. Tidak kurang juga
yang menjadikannya sebagai suatu sarana dari sarana-sarana dakwah.
Salaf dan Penulisan,
Para Sarjana Islam terdahulu, mereka mempunyai kejuhudan yang sangat hebat di
dalam bidang penulisan. Sehinggakan terdapat sebahagian dari mereka yang
memperuntukkan waktu khas untuk menulis.
Abu ‘Ubaid Ibn al-Qasim sebagai contoh. Diceritakan oleh az-Zahabi di dalam
kitabnya Siyar A’lam an-Nubala’ bahawa Abu ‘Ubaid al-Qasim membahagikan malamnya
kepada tiga bahagian. Sepertiga untuk solat, sepertiga untuk tidur, dan
sepertiga lagi untuk menulis kitab. Tokoh lain yang boleh dicontohi ialah,
al-Imam Al-Hafizh Ibn al-Jauzi. Beliau Rahimahullah digambarkan sebagai seorang
individu yang sangat banyak hasil penulisannya.
Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah
dalam menceritakan perihal Ibn al-Jauzi, beliau mengatakan:
“Syaikh Abu
al-Faraj (Ibn al-Jauzi) seorang mufti yang banyak menulis. Beliau mempunyai
karya penulisan dalam tema yang pelbagai. Aku cuba menghitungnya, dan aku
melihatnya lebih dari 1000 karya penulisan”.
Kesan Da’wah Melalui Penulisan,
Kita seharusnya bersyukur. Disebabkan ‘hobi’ para Ulama’ terdahulu dalam bidang penulisan, kita
menikmati hasilnya. Kita peroleh manfaatnya. Kita maklum, para Ulama’ terdahulu
menulis atas tujuan dakwah. Ini tidaklah bermaksud berdakwah semestinya hanya
dengan menulis. Tidak, ini suatu perkara yang perlu dibeza. Lihatlah
keberhasilan dakwah melalui penulisan sebagaimana yang diceritakan oleh
al-Hafizh al-Imam Ibn al-Jauzi. Kata beliau rahimahullah: “Aku menulis dengan
dua jariku ini sebanyak 2000 jilid kitab, dan orang yang bertaubat melalui
tanganku ini sebanyak 100,000 orang”. Ya, begitulah hebatnya penangan
penulisan. Hebatnya kualiti sesebuah tulisan, ramailah insan yang akan
terkesan.
Realiti kini,
Itu semua berlaku ratusan tahun dahulu, di zaman yang sangat sedikit kemudahan
menulisnya. Mungkin hanya pensel dan kertas. Namun usaha mereka, juhud mereka,
melebihi kita yang berada di zaman moden ini. Kini, kita punya pelbagai medium
untuk menulis. Adanya surat khabar, Facebook, Twitter, blog, dan sebagainya.
Kemudahan sudah ada, terpulang kepada kita cara untuk memanfaatkannya. Ulama’
terdahulu sudah punya sumbangan, kita pula apa yang mampu untuk diberikan?
Saham Da’wah,
Dalam keterujaan kita menulis (di mana-mana medium penulisan), alangkah eloknya
jika diselitkan serba sedikit unsur-unsur dakwah di dalam hasil penulisan kita.
Tinggalkanlah menulis suatu yang tidak bermanfa’at, lawak-lawak yang lagha dan
sebagainya. Dahulu saya ada menulis: “Bidang penulisan juga merupakan faktor
penyumbang dosa dan pahala seseorang. Di facebook, status-status kitalah
menjadi saham kepada kita. Jika kita memanfaatkannya untuk kebaikan (dakwah
umpamanya), mudah-mudahan beroleh pahala. Sebaliknya, jika status-status kita cenderung
ke arah makian, cercaan, meng’aibkan dan memecahbelahkan, secara tidak langsung
kita telah menambahkan lagi saham dosa kita yang sedia ada”.
Penulisan dan Kritikan,
Bidang penulisan juga adakalanya digunakan sebagai tempat melemparkan kritikan
terhadap seseorang atau sesebuah kumpulan. Tidak kurang juga para Ulama’ kita
melakukannya. Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah umpamanya. Beliau menghasilkan kitab
beliau Minhaj as-Sunnah Fi Naqhdi Kalam as-Syi’ah wal-Qadariyyah sebagai
membantah dan mengkritik tokoh-tokoh Syi’ah Rafidhah pada zamannya. Kritikan
melalui penulisan ini sememangnya punya manfaat besar buat Agama ini. Kita
mampu menjawab dan membantah segala hujah-hujah Syi’ah dengan maklumat yang
kita perolehi dari kitab ini. Sememangnya kita tahu bahawa Syi’ah merupakan
antara musuh besar Ahl as-Sunnah wal-Jama’ah zaman berzaman. Justeru, segala
jawapan untuk membantah kumpulan ini sememangnya sangat-sangat diperlukan.
Kesimpulan,
Atas sebab apa sekalipun kita menulis, janganlah sesekali kita abaikan mesej
dakwah di dalam penulisan kita. Ikatlah penulisan itu dengan da’wah. Ikhlaskan
niat kerana ALLAH. Mudah-mudahan beroleh pahala. Percaya dan yakinlah, Allah
itu tidak pernah menganggap sia-sia akan usaha hamba-hambaNya dalam menyebarkan
risalah da’wah. Walau kecil pada pandangan kita, besar nilaiannya di sisi
ALLAH. Jangan mengalah dalam da’wah. Semoga kita cenderung menjadikan bidang
penulisan sebagai salah satu sarana da’wah. Hobi menulis harus diikat dengan
amanah da’wah! Wallahu A’lam.
Aal al-Bayt University, Jordan.
26 Jun 2012
1 comments
ikut copas ...
Post a Comment