Salaf dan Kembara,
Para Salafussoleh dan kembara mencari ‘ilmu benar-benar tidak dapat dipisahkan.
Menjadi suatu lumrah bagi mereka, bermusafir ke setiap pelosok negara
semata-mata ingin mendapat ‘ilmu. Baik sedikit mahupun banyak. Di mana sahaja
ada ‘ilmu, segera mereka mendapatkannya. Al-Imam az-Zahabi di dalam kitabnya
Siyar A’laam an-Nubala’, ketika menceritakan biografinya al-Hafizh Ibn Mandah
beliau berkata: “Al-Hafizh Ibn Mandah, Abu ‘Abdillah, Muhaddith Islam. Beliau
melakukan rihlah menuntut ‘ilmu ketika umurnya 20 tahun, dan dia kembali dari
kembara pencarian ‘ilmunya ketika berumur 65 tahun. Rihlahnya dalam pencarian ‘ilmu
adalah selama 45 tahun. Kata az-Zahabi lagi: “Aku tidak tahu seorangpun yang
melebihinya dalam keluasan rihlahnya. Tiada juga yang lebih banyak hadis
darinya bersama hafazannya dan ketsiqahannya. Telah sampai kepada kami bahawa bilangan
gurunya seramai 1700 Syaikh”.
Kejuhudan Kita Bagaimana ?
Sewaktu aku mula-mula melangkahkan kaki ke bumi Jordan, aku benar-benar ‘kosong’
dari segala maklumat berkaitan program talaqqi, daurah ‘ilmiyyah, dan
sebagainya. Aku sedar, bumi Jordan bukanlah sebuah tempat yang tersebar luas
perkara-perkara seumpama ini. Ia berbeza dengan ‘Arab Sa’udi, Mesir, dan
sebagainya. Namun, sedikit bukan bermakna tiada. Sedikit yang bermanfa’at jauh
lebih baik dari banyak yang tiada manfa’atnya. Aku bersangka baik, mudah-mudahan
akan ada beberapa Masyaikh yang akanku gali ilmu darinya Insya Allah.
Syaikh ‘Ali Hasan dan Syaikh Masyhur,
Setelah beberapa bulan di sini, Alhamdulillah aku berjumpa dengan para Masyaikh
yang aku yakin dengan kebersihan ‘Aqidahnya, sahih manhajnya, tinggi ke’ilmuannya,
dan elok akhlak serta keperibadiannya. Aku berpeluang menimba ‘ilmu dengan
Fadhilat as-Syaikh al-‘Allamah ‘Ali Ibn al-Hasan Ibn ‘Ali al-Halabi al-Atsari
Hafizhahullah. Bergetar rasa hati tatkala pertama kali mendengar ceramah
beliau. Terkenang saat pertama kali aku datang ke Jordan, hati rasa sebak. Rasa
pilu itu hadir. Ia berbisik: “Inilah bumi kewafatan al-Imam al-Albani
Rahimahullah, tokoh hadis yang sangat hebat !. Karangannya tersebar merata
dunia. Miskinlah perpustakaan yang tidak memiliki walau sekarya kitabnya.
Sangat tinggi ke’ilmuannya. Masya Allah. Beliau Alhamdulillah sempat mewariskan
ilmunya kepada para Thullab al-‘Ilmi di Jordan. Alhamdulillah,dari situlah lahirnya
ke’ilmuan dan ketokohan guru kami Fadhilat as-Syaikh al-‘Allamah ‘Ali Hasan
al-Halabi dan Fadhilat as-Syaikhina al-‘Allamah Masyhur Bin Hasan Aali Salman
Hafizhahumallah. Aku berpeluang berguru dengan keduanya, bukan sahaja ‘ilmunya
yang cuba aku manfa’atkan. Bahkan akhlak keduanya turut aku ambil sepanjang
ceramah yang mereka sampaikan.
Salaf Menjadi Inspirasi,
Sementara aku berpeluang mengambil dan menimba segala ‘ilmu di bumi Jordan ini,
maka aku perlu juhud. Juhud itu payah dan susah! Ia perlukan pengorbanan. Tika
aku lemah, aku merujuk pada sirah Salaf al-Ummah. Keadaan mereka lagi susah
berbanding diriku. Pun mereka semangat, pun mereka kuat. Kekuatan ini yang aku perlukan
sebagai pendorong semangat. Semoga aku tabah dan gagah. Semoga Allah S.W.T berikan
kekuatan untuk aku terus dan terus mencari ‘ilmu. Rihlah itu perlu, kejuhudan
itu perlu. Itu budaya turun-temurun para pencari ‘ilmu. Semoga aku tergolong
dalam kalangan mereka yang juhud. Insya Allah.
Muhammad Fahmi bin Rusli,
Aal al-Bayt University, Jordan.
0 comments
Post a Comment