Apabila kita mengajak masyarakat awam kepada
beramal dengan amalan-amalan yang bertepatan dengan sunnah, kebiasaannya ajakan
kita itu akan mendapat beberapa reaksi dari sebahagian mereka. Antara contohnya:
“Ustaz, yang kami buat ini perkara baik, lagipun bukan kami bermaksiat”. Contoh
lain:
“Kami ini amalan sedikit, lainlah macam Nabi yang dosa-dosanya dah diampunkan.
Apa salah kami nak buat lebih sedikit dalam beramal”.
Dalam berhadapan dengan situasi begini, hendaklah kita selaku pendakwah
berhikmah dalam memberi jawapan. Jangan menyindir, apatah lagi memerli.
Dalam dua contoh ungkapan di atas, kita tidak menafikan kebenarannya seratus
peratus. Kita juga tidak membenarkannya secara total. Ruang untuk dikritik
masih ada. Jawapan yang boleh diberikan adalah seperti berikut:
1) Perkara baik yang kebanyakan masyarakat awam sangka ialah, bersolat,
berzikir, puasa, dan semisalnya. Kita secara jujur tidak menafikan hal ini.
Pada asalnya, perbuatan bersolat itu baik. Namun, jika ia didatangkan dengan kaifiat
(tatacara) yang tiada petunjuk dari Nabi maka itu merupakan suatu yang tidak
baik. Sebagai contoh, seseorang menunaikan solat dengan memulakan bersujud
padanya. Sudah tentu perbuatan ini diingkari, sekalipun ia dilakukan di atas
nama ibadah.
Petunjuk Nabi sollallahu ‘alaihi wasallam dapat dilihat melalui dua hadis di
bawah:
Kata al-Imam al-Bukhari: Muhammad Bin Salam telah meriwayatkan kepada kami, katanya:
‘Abdah telah meriwayatkan kepada kami, dari Hisyam, dari ayahnya, dari ‘Aisyah,
beliau berkata:
“Apabila Rasulullah S.A.W memerintahkan sesuatu kepada
para sahabat, maka yang diperintahkan adalah apa yang mereka mampu lakukan. Mereka
berkata: “Wahai Rasulallah, kami tidaklah sebagaimana keadaan engkau, sesungguhnya
Allah telah mengampunkan dosa-dosamu apa yang terdahulu dan yang terkemudian”. Mendengar
itu, Rasulullah menjadi marah sehingga nampak tanda kemarahan di wajahnya, kemudian
Baginda bersabda: “Sesungguhnya yang paling bertaqwa dan yang paling tahu
tentang Allah di antara kalian adalah aku”.
(Fath al-Bari Syarh as-Sahih al-Bukhari, al-Hafizh Ibn Hajar al- ‘Asqalani)
Di dalam sebuah riwayat, ada sekumpulan lelaki
berbincang. Kata salah seorang dari kalangan mereka: “Di manakah kita jika
hendak dibandingkan dengan Rasulullah ?, Baginda telah diampunkan dosa-dosa
terdahulu dan yang akan datang”. Berkata pula salah seorang dari mereka: “Adapun
aku, sesungguhnya aku akan bersolat malam selamanya”. Berkata yang lain: “Aku
akan berpuasa dan tidak akan berbuka”, dan berkata yang lain: “Aku pula akan
mengasingkan diri dari wanita, dan aku tidak akan berkahwin selamanya”.
Bagaimana reaksi Nabi ?
Apabila Rasulullah S.A.W mendengar perkataan tiga orang
lelaki ini, Baginda mengucapkan:
“Apalah jadi dengan suatu kaum, mereka bercakap begitu dan begini. Adapun aku bersolat dan aku juga tidur, aku berpuasa dan aku berbuka, serta aku juga mengahwini wanita. Barangsiapa yang tidak mengikuti sunnahku, maka dia bukan dari golonganku".
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Di dalam hadis tersebut menceritakan mengenai beberapa orang lelaki yang ingin
melakukan ibadah berikut. Solat sepanjang malam, berpuasa sepanjang hari tanpa
berbuka, dan tidak mahu berkahwin. Pada neraca pemikiran kita, perkara tersebut
merupakan amalan yang baik. Apa salahnya? Jika seorang bersolat sepanjang
malam, berpuasa sepanjang hari, dan tidak mengahwini wanita, bukankah itu dapat
mengelakkan dia dari melakukan dosa? Kita katakan, salahnya di situ adalah
kerana perbuatan itu menyelisihi sunnah, dan mendapat tegahan yang jelas dari
Nabi sollallahu ‘alaihi wasallam. Apa-apa yang datang dari Baginda kita terima,
apa-apa yang ditegah oleh Baginda, kita berhenti dari melakukannya.
2) Di dalam sebuah atsar yang diriwayatkan oleh al-Imam az-Zahabi, menceritakan
berkenaan al-Imam Fudhail Bin ‘Iyadh Rahimahullah. Suatu hari, beliau
mensyarahkan berkenaan ayat “Ayyukum ahsanu ‘amala”. Kata Fudhail: Iaitu yang
paling ikhlas dan paling benar. Para sahabat Fudhail bertanya: Tafsirkan kepada
kami wahai Abu Ali.
Fudhail menjawab:
"Suatu amalan jika ia ikhlas tetapi tidak
benar maka ia tidak diterima. Jika ia benar tetapi tidak ikhlas, ia juga tidak
diterima. Ikhlas dilakukan kerana Allah, benar dilakukan dengan mengikuti
Sunnah."
Jelas dari perkataan Fudhail, bahawa syarat penerimaan suatu ibadah ada dua.
Pertama ialah ikhlas kerana Allah. Kedua, ia dilakukan dengan mengikut sunnah.
Al-Imam Muhammad bin Soleh al-‘Utsaimin Rahimahullah mengatakan: Pengajaran
dari ayat ini ialah, Allah tidak menilai sesuatu ‘amalan itu berdasarkan
sedikit atau banyak ia dilakukan. Tetapi Allah menilai amalan yang ‘ahsan’
iaitu yang terbaik meliputi ikhlas dan menepati sunnah.
Kata ‘Abdullah Ibn Mas’ud:
"Bersederhana dalam as-Sunnah lebih baik dari
bersungguh-sungguh dalam bida’ah."
Antara pelaku 'Amalan Terbaik' dan 'Amalan Terbanyak', siapakah juara ? Siapakah yang bakal merangkul piala ?
Wallahua’lam.
Muhammad Fahmi Rusli
Mafraq
28 November 2012
0 comments
Post a Comment