Betapa ramai orang yang berilmu dan berbicara tentang ilmu. Namun
terlalu sikit dari kalangan mereka yang beramal dengan ilmu yang dimiliki. Kita
bermohon kepada Allah agar kita tidak tergolong dalam golongan ini.
Mencari dan mendapatkan ilmu itu jauh lebih mudah dari mengaplikasi dan
mengamalkannya dalam diri. Kerana itu kita dapati di sekeliling kita, bahkan
lebih dekat dari itu kita perhatikan diri kita sendiri. Berapa banyakkah ilmu
yang kita perolehi hari demi hari yang telah diamalkan? Jika ada, tahniah !
Jika tiada, muhasabah !
Ramai orang, teruja dan bangga dengan ilmu yang dia miliki. Bercakapnya penuh
hujah, dialognya ilmiah, bicaranya tidak mampu dipatah. Alhamdulillah, itu
suatu kelebihan yang Allah anugerahkan kepada dirinya. Kita patut bersyukur,
bukan semua insan yang mendapat kelebihan yang sama. Namun, adakah dengan
kelebihan ilmu yang kita miliki seiring dengan kesungguhan dalam
mengamalkannya? Anda tahu perkara ini baik, sudahkah anda lakukan? Anda tahu
perkara itu buruk, sudahkah anda tinggalkan? Dengarkan nasihat ini:
Kata al-Hafiz Ibn Jauzi:
“Berhati-hatilah dari hanya terpaku pada ilmu
namun tidak mengamalkannya, ini kerana keadaan yang demikian itu adalah sifat
pemalas yang kronik.”
[Shaidul Khathir, Ibn Jauzi]
Kata al-Hafiz Ibn al Qayyim:
“Para Salaf tidak pernah memberi nama fiqh kecuali pada ilmu yang disertakan
dengan amal.”
[Miftah Dar as-Sa’adah, Ibn Qayyim]
Nah,
Bagaimanakah sebahagian orang yang mendabik dada mengatakan ‘aku ahli fiqh’
namun dalam masa yang sama tidak beramal dengan ilmu yang dimiliki?
Bagaimanakah sebahagian orang yang mendabik dada mengatakan ‘aku ahli al-Quran’
namun dalam masa yang sama al-Quran hanya dibaca seminggu sekali?
Bagaimanakah sebahagian orang yang mendabik dada mengatakan ‘aku ahli hadis’
namun dalam masa yang sama perbuatan ibadahnya sendiri menyelisihi Sunnah Nabi?
Ya akhi, ini musibah ! Muhasabah diri dengan nasihat ini:
Kata Hasan al-Bashri:
“Sangat menghairankan lisan yang mengajak (kepada kebaikan), jantung hati yang
mengetahui (kebaikan), namun perbuatannya menyelisihi keduanya (perkataan dan
jantung hatinya.”
[Miftah Dar as-Sa’adah, Ibn Qayyim]
Lihatlah wahai teman, bagaimana hidupnya generasi awal terdahulu. Bagaimana
kesungguhan mereka mengikat ilmu dengan amal.
Kata Hasan al-Bashri:
“Seseorang dari kalangan Salaf menuntut ilmu,dan belum beberapa lama sudah
dapat dilihat pengaruh ilmu dalam solatnya, kekhusyukannya, perkataannya, serta
keperibadiannya.”
[Kitab az Zuhd, Ahmad bin Hanbal]
Inilah generasi yang kita cuba lahirkan, generasi yang berilmu seiring dengan
ilmu yang diamalkan. Ia tidak mustahil, kerana generasi terdahulu telah berjaya
membuktikan. Tidakkah kita pernah dengar, bahawa para sahabat tidak akan
meneruskan bacaan al-Quran, melainkan setelah mentadabburinya, ulangkaji, serta
aplikasikan ia dalam kehidupan. Mereka boleh lakukan, kita jangan pula mencari
seribu satu alasan. Ikatlah ilmu dengan amal.
Aal al-Bayt University, Jordan.
17 January 2013.
0 comments
Post a Comment