Pages

Friday 22 March 2013

Ada Apa Pada Sebuah Tangisan ?



Ada banyak sebab manusia menangis. Ada yang mengalirkan airmatanya kerana kegembiraan, ada juga yang mengalirkannya tatkala berada dalam kesedihan.

Atas sebab apa sekalipun insan itu menangis, ramai yang tidak menyedari bahawa perbuatan menangis itu sendiri merupakan suatu rahmat yang diberikan Allah pada jiwa-jiwa insan.

Dengan sebuah tangisan, ia mampu menghilangkan segala kegusaran dan kekecewaan.

Dengan sebuah tangisan, jiwa yang sebelum ini resah menjadi tenang.

Manusia itu sifatnya lemah. Tidak semua masalah dapat diceritakan kepada manusia lainnya. Lalu, insan yang lemah ini mengadu segala kesedihan dan rintihannya kepada Allah yang Maha Gagah.

Jika kita perhatikan, al-Quran di banyak tempat, memuji perbuatan insan-insan yang menangis kepada Allah. Kata Allah:

وَإِذَا سَمِعُوا مَا أُنزِلَ إِلَى الرَّسُولِ تَرَى أَعْيُنَهُمْ تَفِيضُ مِنَ الدَّمْعِ مِمَّا عَرَفُوا مِنَ الْحَقِّ يَقُولُونَ رَبَّنَا آمَنَّا فَاكْتُبْنَا مَعَ الشَّاهِدِينَ

Maksudnya: Dan apabila mereka mendengar apa yang diturunkan kepada Rasul, kamu dapat melihat mata-mata mereka mengalirkan air mata terhadap kebenaran yang telah mereka ketahui. Lalu mereka mengucapkan:

Wahai Tuhan kami, kami telah beriman maka tuliskanlah kami bersama-sama orang yang menjadi saksi (akan kebenaran Muhammad).

[Al-Maaidah: 83]

Di dalam surah al-Isra', Allah berfirman:

ويخرون للاذقان يبكون

Maksudnya: Dan mereka menyungkurkan wajah sambil menangis.

[Al-Isra': 109]

Ya, menangisnya seseorang bukan tanda kelemahan. Pada tangisan itu ada kekuatan, padanya suatu rahmat dari Tuhan.

Di dalam sebuah hadis, Rasulullah sollalahu 'alaihi wasallam bersabda, Allah berkata:

Aku haramkan neraka bagi mata yang menangis kerana takutkan Allah.

[Riwayat Ahmad, an-Nasa'ie, dan disahihkan oleh al-Hakim]

Di dalam sebuah riwayat, bahawasanya Rasulullah S.A.W menangis, bergelinangan air mata Baginda ketika melihat jenazah anaknya Ibrahim Radhiallahu 'anh.

Lalu berkata Abd ar-Rahman bin 'Auf:

Kamu juga bersedih wahai Rasulullah ?

Kata Nabi sollallahu 'alaihi wasallam:

Wahai Ibn 'Auf, sesungguhnya ia adalah suatu rahmat. Sesungguhnya mata itu menangis, jantung hati itu bersedih, dan kita tidak mengucapkan selain dari apa yang Allah redha. Sesungguhnya kami dengan pemergianmu wahai Ibrahim dalam kalangan yang bersedih.

[Riwayat al-Bukhari]

Demikianlah sifat insan. Kelemahannya, kesedihannya, menyebabkan ia menangis di hadapan Tuhan. Dia tunduk, berserah diri, memuji, dan mengucapkan syukur kepada Allah ar-Rahman.

Allah menceritakan di dalam al-Qur'an, dalam menyifatkan ciri-ciri orang beriman:


Apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat ar-Rahman, mereka tunduk bersujud, dan menangis.

[Maryam; 59]

Al-Hafizh Ibn Kathir Rahimahullah, ketika menafsirkan ayat ini beliau berkata:

Apabila mereka mendengar ucapan-ucapan Allah yang mengandungi hujjah-hujjah dan bukti-bukti yang jelas, mereka bersujud kepada Rabb mereka dalam keadaan tunduk patuh, berserah diri, memuji, serta bersyukur terhadap segala nikmat agung yang telah diberikan ke atas mereka.

[Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-Azhim]

Demikianlah ciri-ciri orang beriman, yang Allah sifatkan di dalam al-Quran. Menangis itu, merupakan suatu simbolik keimanan yang terdapat dalam diri mereka.

Mereka menangis mengenangkan kebesaran Tuhan.

Mereka menangis membenarkan kandungan al-Quran.

Mereka menangis seraya tunduk bersujud kepada ar-Rahman.

Dari situlah mereka memperoleh kekuatan dalaman, membuang segala kekusutan dan keresahan. Serta menyegarkan jiwa-jiwa insan yang kesedihan.

Belajarlah untuk menangis di hadapan Allah, nescaya anda akan mengetahui bahawa ia adalah suatu nikmat dan rahmat pemberian Allah.

Muhammad Fahmi Bin Rusli
Hayyu Dhubat, Mafraq, The Hashemite Kingdom of Jordan
23 March 2013.

0 comments

Post a Comment