Mukadimah
Saban
tahun antara persoalan yang sering ditimbulkan oleh masyarakat umum adalah
berkenaan hukum menggabungkan puasa ganti dengan puasa sunat sebanyak 6 hari
pada bulan syawal. Adakah ianya dibolehkan ataupun perlu dilakukan puasa ganti
terlebih dahulu ? Justeru, post kali ini akan mengupas isu ini secara tuntas
dan lebih lanjut.
Pensyariatan
Puasa Qadha’ (Ganti)
Terdapat
beberapa golongan yang tidak boleh berpuasa sama ada disebabkan keuzuran
syar’ie ataupun rukhsah (keringanan) yang telah syarak berikan kepada
mereka. Golongan tersebut antaranya adalah:
Pertama: Wanita Yang Dalam Keadaan Haid Atau Nifas
Golongan
ini tidak dibolehkan untuk berpuasa pada bulan Ramadhan dan menjadi kewajipan
ke atas mereka untuk menggantikan puasa yang ditinggalkan tersebut pada hari
yang lain. Dalil yang menyatakan kewajipan qadha’ puasa bagi mereka adalah
berdasarkan kata-kata Ummul Mukminin A’isyah R.anha:
كُنَّا نَحِيضُ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ
اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ثُمَّ نَطْهُرُ فَيَأْمُرُنَا بِقَضَاءِ الصَّوْمِ
وَلاَ يَأْمُرُنَا بِقَضَاءِ الصَّلاَةِ
Maksudnya: Kami
telah haid pada zaman Rasulullah S.A.W. Kemudian kami suci maka baginda
memerintahkan kami untuk menggantikan puasa dan baginda tidak memerintahkan
kami untuk menggantikan solat.
Riwayat
al-Nasaie (2318)
Berdasarkan
hadis di atas, Nabi S.A.W memerintahkan wanita yang haid untuk menggantikan
puasa mereka. Seperti yang telah disebutkan oleh para ulama, setiap perintah
Nabi S.A.W menunjukkan kepada hokum wajib melainkan terdapatnya qarinah
(petunjuk) lain yang mengalihkan daripada makna wajib kepada hukum yang lain.
Ini berdasarkan sebuah kaedah yang masyhur:
لأَمْرُ يُفِيدُ الوَجُوب
Maksudnya:
Kata perintah menunjukkan kepada wajib.
Justeru, puasa qadha’
(ganti) merupakan suatu kewajipan ke atas setiap perempuan yang didatangi haid
atau nifas pada bulan Ramadhan.
Kedua:
Golongan Yang Sakit & Orang Yang Bermusafir
Golongan yang sedang
bermusafir dan orang yang sakit dalam bulan puasa diberikan keringanan untuk
tidak berpuasa. Pun begitu, menjadi kewajipan ke atas mereka untuk menggantikan
puasa mereka pada hari yang lain. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T:
فَمَن
كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوۡ عَلَىٰ سَفَرٖ فَعِدَّةٞ مِّنۡ أَيَّامٍ أُخَرَ
Maksudnya: Siapa dari
kalangan kalian yang sakit ataupun dalam keadaan bermusafir maka gantikanlah ia
(puasa) pada hari yang lain.
Surah al-Baqarah (184)
Jelas dari ayat di atas
menunjukkan bahawa qadha’ puasa adalah wajib ke atas mereka yang tidak
berpuasa disebabkan sakit atau musafir pada bulan Ramadhan.
Pensyariatan Puasa 6 Hari
Di Bulan Syawal
Daripada Abu Ayyub Al-Ansari
R.anhu
beliau berkata, Rasulullah S.A.W bersabda:
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ بِسِتٍّ مِنْ شَوَّالٍ كَانَ
كَصَوْمِ الدَّهْرِ
Maksudnya: Sesiapa
yang berpuasa Ramadhan, kemudian diikuti dengan (puasa) enam hari pada bulan
Syawal yang demikian itu seperti berpuasa sepanjang tahun.
Riwayat Muslim (1164), Ibn Majah (1716)
Para fuqaha
menyebutkan bahawa hukum melakukan puasa 6 hari pada bulan Syawal adalah sunat mustahabbah
(yang digalakkan).
Yang dimaksudkan dengan
ganjaran pahala seperti berpuasa sepanjang tahun itu antara pendapatnya adalah
kerana pada bulan Ramadhan seseorang itu berpuasa selama 30 hari. Manakala jika
dia mengikuti puasa Ramadhan tersebut dengan puasa 6 hari selepasnya maka dia
telah berpuasa sebanyak 36 hari. Setiap kebaikan yang dilakukan itu akan
memperoleh sepuluh ganjaran berdasarkan riwayat daripada Abu Hurairah R.anhu
beliau berkata, sabda Nabi S.A.W:
الْحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا
Maksudnya: Satu
kebaikan itu bersamaan 10 ganjaran pahala.
Justeru 30 hari
berpuasa Ramadhan dicampurkan dengan 6 hari pada bulan Syawal bersamaan 36
kebaikan yang digandakan sebanyak 10 kali maka ganjarannya adalah sebanyak 360
yang merupakan jumlah bilangan hari dalam setahun menurut kalendar hijrah.
Bolehkah
Digabungkan Puasa Qadha Dengan Puasa 6 Hari Bulan Syawal ?
Inilah isu
utama yang menjadi tajuk perbincangan kita di sini. Setelah kita mengetahui
akan hukum bagi kedua-dua puasa iaitu puasa qadha dan juga puasa 6 hari
di bulan Syawal, maka timbul persoalan iaitu bolehkah kedua-duanya digabungkan
serentak ?
Pendapat Imam
al-Khatib al-Syarbini Rahimahullah :
وَلَوْ
صَامَ فِي شَوَّالٍ قَضَاءً أَوْ نَذْرًا أَوْ غَيْرَ ذَلِكَ هَلْ تَحْصُلُ لَهُ
السُّنَّةُ أَوْ لَا لَمْ أَرَ مَنْ ذَكَرَهُ وَالظَّاهِرُ الْحُصُولُ لَكِنْ لَا
يَحْصُلُ لَهُ هَذَا الثَّوَابُ الْمَذْكُورُ خُصُوصًا مَنْ فَاتَهُ رَمَضَانُ
وَصَامَ عَنْهُ شَوَّالًا لِأَنَّهُ لَمْ يَصْدُقْ عَلَيْهِ الْمَعْنَى
الْمُتَقَدِّمُ
Maksudnya: Sekiranya seseorang itu
berpuasa qadha (ganti), nazar, atau selainnya pada bulan Syawal adakah dia
turut memperoleh pahala sunnah (6 hari Syawal) ataupun tidak ? Aku tidak temui
seorang pun yang menyebutnya. Yang zahirnya dia turut mendapatnya (pahala sunnah)
akan tetapi dia tidak memperoleh ganjaran pahala yang disebutkan (berpuasa)
sepanjang tahun. Lebih-lebih lagi mereka yang meninggalkannya pada bulan
Ramadhan lalu berpuasanya (ganti puasa) pada bulan Syawal kerana itu tidak
menepati makna yang telah disebutkan.
Rujuk Mughni al-Muhtaj, al-Syarbini
2/184.
Pendapat Syeikhul Islam Zakaria al-Ansari Rahimahullah
وَلَو صَامَ فِيهِ - أَيْ شَوَّال
- قَضَاء عَن رَمَضَانَ أَوْ غَيْرِهِ نَذراً أوْ نَفلاً آَخَر حَصَلَ لَهُ ثَوَاب
تَطَوعهَا إِذْ المَدَار عَلَى وُجُودِ الصَّومِ فِي سِتَّةِ أَيَّامٍ مِنْ شَوَّال
لَكِنْ لا يحصل لَهُ الثَّوَاب الكَامِل المُتَرَتَّب عَلَى
المَطْلُوبِ إِلَّا بِنِيَّة صومهَا عَنْ خُصُوصِ السِّتِّ مِنْ شَوَّال وَلاسِيَّمَا
مَنْ فَاتَهُ رَمَضَانَ لأنه لم يصدق أنه صَامَ رمَضَان وأتْبَعَه ستاً مِنْ شوال
Maksudnya: Sekiranya seseorang itu
berpuasa qadha Ramadhan atau nazar atau selainnya dari puasa sunat pada bulan
Syawal maka dia memperoleh ganjaran puasa sunatnya disebabkan madar (ruang
legarnya) adalah terdapatnya puasa pada enam hari dari bulan Syawal. Akan
tetapi, dia tidak memperoleh ganjaran penuh yang diberikan kepada perbuatan
yang dituntut melainkan dengan niat dia berpuasa khusus selama 6 hari pada
bulan Syawal. Tambahan pula bagi sesiapa yang terlepasnya (puasa) pada bulan
Ramadhan kerana dia tidak dikira sebagai orang yang berpuasa Ramadhan kemudian
diikuti dengan puasa 6 hari pada bulan Syawal.
Rujuk Hasyiah al-Syarqawi ‘Ala Tahrir
al-Lubab, Zakariya al-Ansari.
Pendapat Imam Ibn Rajab al-Hanbali Rahimahullah
Kata al-Hafiz Ibn Rajab:
إِذَا اجْتَمَعَتْ
عِبَادَتَان مِن جِنْسٍ وَاحِدٍ فِي وَقْتٍ وَاحِدٍ لَيسَتْ إِحْدَاهُمَا مَفْعُولَةٌ
عَلَى جِهَةِ القَضَاءِ وَلَا عَلَى طَرِيقِ التَّبعِيةِ لِلأُخْرَى فِي الوَقْتِ تَدَاخَلَتْ
أَفْعَالُهُمَا وَاكْتَفَي فِيهِمَا بِفِعْلٍ وَاحِدٍ
Maksudnya: Apabila dihimpunkan dua
ibadah dari jenis yang sama pada waktu yang sama, dalam keadaan salah satunya
bukanlah dilakukan dari sudut qadha’ dan tidak pula dari segi taba’iyyah
(ikutan) kepada ibadah yang lain maka ia dikira termasuk dalam perbuatan kedua-duanya
dan mencukupilah dengan sekali perbuatan.
Rujuk Taqrir al-Qawaid, Ibn Rajab
(1/142).
Daripada kenyataan di atas, dapatlah
difahami bahawa tidak boleh untuk menggabungkan di antara dua ibadah yang ada
tujuan tertentu bagi kedua-duanya dalam masa yang sama. Seperti seseorang yang
ingin melakukan solat fardhu zohor lalu dia menggabungkan niatnya untuk solat
sunat empat rakaat (ba’diyah) sesudah zohor.
Begitu juga dengan mereka yang berniat
qadha Ramadhan dan gabungkan dengan niat puasa 6 hari bulan Syawal maka ia
tidak dikira. Ini kerana qadha’ adalah wajib manakala puasa 6 hari
adalah sunat.
Kesimpulan
Bagi golongan yang tidak berpuasa pada
bulan Ramadhan disebabkan keuzuran, maka lakukanlah puasa qadha’
terlebih dahulu. Tidak boleh untuk digabungkan dengan niat puasa enam hari
bulan Syawal. Jika qadha’nya pada bulan Syawal dilakukan dalam tempoh 6
hari dalam bulan Syawal, maka diharapkan dia turut mendapat ganjaran pahala puasa
sunat pada hari tersebut. Wallahu A’lam.