Pages

Sunday, 19 January 2014

Kebenaran Itu : Kayu Ukurnya Apa ?



Bila saya katakan : Pandangan yang mengatakan Allah di atas langit itu boleh didengari melalui ceramah Ustaz Fulan di YouTube.

Mereka kata : Belajar Aqidah kena bertalaqqi.

Bila saya katakan : Allah di atas langit itu merupakan tafsiran al-Imam at-Thabari terhadap ayat ke - 17 dalam Surah al-Mulk.

Mereka kata : Ilmu kena belajar secara berguru. Siapa belajar dengan buku, maka syaitanlah gurunya.

Bila saya katakan : Saya belajar dengan beberapa orang Masyaikh berbangsa Arab, berbahasa Arab, menulis puluhan kitab, mereka pun mengatakan bahawa Allah di atas Arasy.

Mereka kata : Masyaikh kamu itu Wahhabi.

Wah, kayu ukur kebenarannya apa ? Penentunya siapa ?

Berbeza dengan kamu Wahhabi sahaja, sekalipun lebih tinggi ilmunya dari dirimu.

Bersetuju dengan kamu Ahlus Sunnah semua, sekalipun bahasa arabnya tidak menentu.

Demikianlah sikap 'Haqiqi Ahlus Sunnah'. Habis sahaja perkakas hujjah, di angkat pula senjata fitnah.

Nas'aluLlaaha as-Salaamata was Sadaad.

Mafraq, 20 January 2014.

Thursday, 16 January 2014

Beradablah Wahai Rakan Taulan




Saya tahu, saya bukanlah insan yang terbaik untuk memberi nasihat. Tidak pula insan yang berhak untuk dituruti segala nasihatnya. Namun, selama mana saya bergelar seorang Muslim, nasihat itu merupakan tuntutan Syariat. Untuk diri sendiri, juga untuk umat sejagat.

Isu.

Baru-baru ini, kecoh di laman sosial Facebook dan Twitter akan sebuah kenyataan yang disandarkan kepada Syaikh Nuruddin Marbu al-Banjari berkaitan isu Maulid. Isunya, perbandingan di antara murtabak dan amalan Maulid.

Saya tidak berminat untuk mengulas isi kandungan kenyataan tersebut. Entri ini sebaliknya, bertujuan untuk mengulas sikap segelintir sahabat-sahabat kita - yang menisbahkan diri kepada Ahlus Sunnah, Salafi, Ahlul Hadiith - dalam berinteraksi dengan kenyataan tersebut.

"Nuruddin al Murtabaki, Chef Nuruddin, Marbu al Murtabak"

Ucapan-ucapan di atas - Demi Allah - benar-benar tidak menyenangkan jiwa dan mata saya tatkala membacanya. Sedih, kecewa, bercampur rasa.

Sebagai Muslim, sikap, tindakan, penulisan, serta ucapan kita hendaklah selaras dengan Syara'. Cuba kita kembalikan soalan kepada diri kita : Apakah yang kita tulis tersebut bertepatan dengan Syara' ? Adakah Allah redha dengan ucapan itu ?

Kritik ucapan, bukan pengucapnya.

Ketika mengulas tentang al-Hafizh an-Nawawi dan al-Hafizh Ibn Hajar, kata as-Syaikh Ibn Utsaimin :

Telah muncul sejak 2, 3 tahun kebelakangan ini cemuhan-cemuhan terhadap keduanya ini dengan cemuhan yang teruk. Sehingga ada yang berkata : Wajib dibakar kitab Fath al-Bari, dan Syarah Sahih Muslim - A'uzubillah - Bagaimana seorang insan boleh mengucapkan perkataan ini ? Sungguh dia telah terpedaya dengan dirinya, bangga diri, dan menghina orang lain.

Demikianlah sepatutnya sikap kita. Betulkanlah sahaja ucapan yang salah itu. Tidaklah perlu memberi gelaran yang buruk kepada pengucapnya, menjadikan ia bahan jenaka, perlian, dan seumpamanya. Berikanlah beliau haknya, sebagai insan yang lebih tua dari kita. Kata Rasulullah Sollallahu alaihi wa Aalihi wasallam : Bukan dari kalangan kami, sesiapa yang tidak memuliakan orang tua kami.

Memuliakan dalam erti kata pastikan terlebih dahulu adakah ucapan itu benar-benar darinya. Jika benar, berikanlah nasihat yang baik, membetulkan kesilapannya dengan adab, tidak melabel, mengumpat, mencaci maki, sekalipun benar-benar pada ucapannya punya kesalahan.

Menenangkan diri dengan tulisan guru yang dimuliakan - Ustaz Nassaie Hanaffie - Hafizhahullah wa Ra'aahu - :

Sebagaimana aku bangga menyebut aku adalah Muslim ( walau dunia Islam caca marba dari segenap sudut ), maka aku juga berbangga menisbahkan diriku pada Salafi ( dengan 1001 rencam orang yang menisbahkan dirinya pada manhaj yang mulia ini )

Wallahu A'lam.

Mafraq, Jordan.
17 January 2014 M.

Monday, 16 December 2013

PRK PRISMA - Manifesto Calon



Bismillah. Berikut merupakan manifesto saya sebagai calon untuk kerusi Biro Pembangunan Insan dan Ideologi sesi 13/14.

1- Menubuhkan medium ilmiah berasaskan bidang para ahli.

2- Menyemai perpaduan sesama ahli melalui program-program pembangunan modal insan.

3- Menyemarakkan aktiviti tafaqquh dwi aliran (University & Talaqqi)

Pencerahan:

Suka saya memberitahu, proses mengeluarkan manifesto bukan suatu yang mudah. Ia memerlukan kita berfikir panjang, memahami dengan baik suasana pemikiran para ahli, mengkaji, memadam semula apa yang difikirkan atas kemaslahatan yang lebih besar, mengaplikasikan feqh al-Awlawiyyaat (menilai keutamaan), mengukur kadar kemampuan dan keterbatasan diri, serta berdoa dan membulatkan tekad kepada Allah.

Kalian maklum, ini merupakan manifesto kedua yang saya fikirkan, dalam bidang pencalonan yang sama, usai Pilihan Raya Kampus sesi lepas. Jika diteliti, saya padam dua darinya dan diggantikan dua poin baharu.

Menubuhkan medium ilmiah berasaskan bidang para ahli

Medium bagaimana yang dimaksudkan ?

Begini. Menjadi harapan besar bagi saya untuk menubuhkan medium-medium ilmiah, yang berperanan menghasilkan makalah-makalah mahupun jurnal ilmiah secara berkala. Kita maklum, bahawa mahasiswa kita di sini terdiri dari tiga bidang utama: Usuluddin, Feqh dan Usul, serta Bahasa Arab.

Alangkah baiknya, jika ditubuhkan medium khas untuk setiap takhassus (pengkhususan). Memikir, mengkaji, menganalisa, serta menghasilkan bahan ilmiah, berdiskusi, berwacana, berkenaan Aqidah, Tafsir, dan Hadis (Usuluddin), Feqh, Usul Feqh, Kaedah Feqh (Feqh dan Usul Feqh), serta ilmu-ilmu dalam bahagian Kulliyah Lughah wa Adaabuha.

Menyemai perpaduan sesama ahli melalui program-program pembangunan modal insan

Menyentuh isu perpaduan. Saya tenangkan diri saya dengan kata-kata al-Imam Nashir as-Sunnah Muhammad bin Idris as-Syafie;

إن إرضا النلس غاية لا تدرك

Maksudnya: Sesungguhnya redha manusia itu suatu matlamat yang tidak akan dapat tercapai.

Saya - Insha Allah - sekiranya terpilih, akan berusaha bersungguh-sungguh merangka aktiviti-aktiviti pembangunan modal insan yang dapat merapatkan ukhuwwah sesama ahli, yang tidak dapat saya nyatakan di sini. Mudah-mudahan, biarlah perpaduan kita atas dasar kebenaran. Mudah-mudahan, biarlah bersatunya kita atas dasar cinta pada Tuhan.

Menyemarakkan aktiviti tafaqquh dwi aliran (University & Talaqqi)

Melalui poin ini, kita dapat fahami bahawa proses menyemarakkan merupakan suatu usaha untuk menambah baik serta menyuburkan program-program tafaqquh dwi aliran yang sudah sedia dijalankan di sini. Justeru pelbagai program bakal dijalankan - Insha Allah - mengikut maslahat, dan sasaran yang kita harapkan buat para ahli.

Demikian, serba sedikit pencerahan berkaitan manifesto yang saya rancangkan. Manifesto ini, tidak lain tidak bukan :

إن أريد إلا الإصلاح ما استطعت

Tidaklah yang aku mahukan, kecuali untuk membuat Islah (pembaikan) sekadar yang aku mampu.

Sekian,

Calon Biro Pembangunan Insan & Ideologi PRISMA,
Muhammad Fahmi bin Rusli.

16/Disember/2013

Wednesday, 25 September 2013

Jangan Menilai Seseorang Dari Luaran.



Pepatah menyebut: Don't judge a book by its cover. Ya, jangan menilai sesebuah buku hanya melalui kulitnya. Boleh jadi sesebuah buku itu luarannya buruk, namun di dalamnya penuh dengan isi-isi yang bermanfaat. Boleh jadi sesebuah buku itu luarannya cantik, namun di dalamnya penuh dengan isi-isi picisan dan khurafat.

Begitu juga dalam menyingkapi manusia.

Pertemuan pertama kali, dengan sekadar memandang zahir pakaiannya, tidak cukup untuk kita benar-benar mengenali dirinya. Duduklah bersamanya, berbual dengannya. Ini lebih berkesan untuk kita menilai seseorang berbanding menilainya dari luaran.

Kisah Ibn Utsaimin dan gurunya al-Imam al-Mufassir al-Amin as-Syanqithi.

Kata al-Imam Ibn Utsaimin Rahimahullah:

Kami para penuntut ilmu di Ma'had Ilmi di Riyadh, dan kami duduk di dalam kelas. Kemudian, Syaikh (Al-Amin as-Syanqithi) masuk ke dalam kelas. Ketika aku melihatnya, aku berkata: Ini seorang Badwi dari kalangan Arab. Tiada padanya bekalan ilmu ! Bajunya lusuh, pada dirinya tiada tanda-tanda kehebatan. Tidak mengambil berat tentang penampilan dirinya. Lalu beliau hilang dari fikiran kami. Aku terfikirkan as-Syaikh Abd ar-Rahman as-Si'di. Aku berkata dalam diriku: Aku meninggalkan Syaikh Abd ar-Rahman as-Si'di dan aku duduk di hadapan Badwi ini ?

Ketika mana as-Syanqithi memulakan pengajarannya, tertumpahlah ke atas kami permata-permata dari faedah ilmu, hasil dari lautan ilmu beliau. Maka tahulah kami bahawa kami sedang berada di hadapan seorang yang berkelayakan dari kalangan Ulama. Maka kami memperoleh manfaat dari ilmu beliau, keperibadiannya, akhlaknya, zuhudnya, serta wara'nya beliau.

(Majalah al-Hikmah, Bil: 2)

Saudaraku, ambillah pengajaran dari kisah ini. Entah berapa ramai insan yang kita memandangnya negatif dari luaran, ia berubah positif usai berkenalan. Bersangka baiklah dalam menilai sesama insan.

25 September 2013

Mafraq, Jordan.

Sunday, 14 April 2013

Nota Dakwah: Antara az-Zuhri dan Anak Muda.



Seorang penceramah membacakan sebuah hadis dalam ceramahnya.

Lalu al-Imam az-Zuhri berkata: 
Perkara ini tidak warid dalam Sunnah Nabi صلى الله عليه وسلم.

Penceramah tersebut pun duduk. Tiba-tiba bangun seorang budak lalu berkata:


Wahai Imam. Kata az-Zuhri: Ya. Budak itu bertanya: 

Adakah engkau menghafaz sunnah seluruhnya ?

Az Zuhri menjawab: Tidak.

Adakah engkau menghafaz separuh darinya ?

Az Zuhri menjawab: Tidak.

Adakah engkau menghafaz dua pertiga darinya ?

Az Zuhri menjawab: Tidak.

Kata budak tersebut: Andaikanlah kamu menghafaz separuh dari Sunnah. Lalu hadis yang dibacakan Syaikh tadi berada di dalam separuh yang tidak kamu menghafaznya !

Maka terdiamlah az-Zuhri dan beliau mengakui kekuatan hujah budak tersebut.

Kesimpulannya di sini, janganlah kita bermudah-mudahan mengatakan bahawa hadis ini tidak warid dari Nabi, perkara ini tidak terdapat di dalam Sunnah, dan yang seumpamanya. Kerana hadis yang kita tidak pernah dengar, boleh sahaja orang lain pernah mendengarnya.

Telitilah sebelum menafikan sesuatu hujjah.

Wallahua'lam.

Nota Kaki:

Al-Imam az-Zuhri merupakan seorang alim kabir lagi agung dalam ilmu hadis. Sekiranya kita membuka kitab as-Sahihain, kita akan dapati nama beliau terdapat dalam kitab tersebut. Begitu juga nama beliau tercatat di dalam kutub as-sittah di kebanyakan tempat.

Aal al-Bayt University, Jordan.
15 April 2013 Masihi.

Sunday, 7 April 2013

Dakwah: Dengan Ilmu Atau Cukup Sekadar Semangat ?


Dalam merungkai secara lebih terperinci berkaitan tajuk yang dipilih, penulis cuba menarik minat para pembaca dengan kata-kata berikut:


"Ada orang tinggi semangat dakwahnya, akan tetapi kontang ilmunya. Ada orang tinggi ilmunya, akan tetapi gersang semangat dakwahnya."

Ya, realitinya inilah yang berlaku pada segelintir masyarakat kita.

Ilmunya tiada. Cerita agama di situ, mengeluarkan hukum di sana. Seakan-akan agama disebarkan tanpa ada neraca yang mengukur. Menyebarkan agama itu tidak salah. Cumanya, menyampaikan inti agama tanpa ilmu dan nas yang sahih merupakan suatu masalah !

Di sudut lain,

Ilmunya penuh di dada. Tatkala berbicara mengenai agama, maka dialah ahlinya. Kurangnya, dia tidak berdakwah kepada masyarakat. Tidak melalui lisan, tidak pula dari penulisan. Masyarakat tidak merasai manfaat dari ilmu yang dia miliki. Ini benar-benar suatu musibah.

Kita secara jujur, tidak mahu melahirkan insan-insan seumpama ini.

Biarlah berilmu, tinggi juga semangat menyebarkannya.

Biarlah bersemangat dalam dakwah, tinggi juga bekalan ilmu yang dibawanya bersama.

Mungkin inilah yang dimaksudkan oleh al-Hafiz Ibn Qayyim al-Jauziyyah melalui kata-katanya:

Apabila dakwah kepada Allah merupakan kedudukan hamba yang paling mulia, paling terhormat, dan paling utama, maka ia tidak dapat dihasilkan kecuali dengan ilmu yang digunakan untuk berdakwah. Bahkan kesempurnaan dakwah hanya dapat dicapai melalui ilmu yang cukup.

Ini kata-kata yang tepat.

Dakwah itu kerja mulia.

Ilmu itu pelengkap kerja.

Keduanya kena saling bersepakat, menyebarkan dakwah tidak cukup dengan hanya bersemangat. Bahkan ia memerlukan kepada keluasan ilmu yang jitu dan kuat.

Tanpa ilmu, dakwah kontang. Tanpa dakwah, ilmu tempang.

Muhammad Fahmi bin Rusli.
Universiti Aal- al-Bayt, Jordan.
8 April 2013.

Monday, 1 April 2013

Jangan Umumkan Istilah Yang Pada Lafaznya Ada Persamaan.




1- Di dalam kitab Taqrib at-Tahzib karangan al-Imam al-Hafidz Ibn Hajar al-‘Asqalani Rahimahullah (w. 852 h.), beliau meletakkan huruf-huruf tertentu sebagai singkatan bagi para perawi. Sebagai contoh: Huruf خ merujuk kepada al-Bukhari. Huruf م merujuk kepada Muslim. Manakala huruf ق merujuk kepada Ibn Majah al-Qazwini.



Manakala di dalam kitab al-Jami’ as-Soghir karangan al-Imam as-Suyuthi Rahimahullah (w. 911 h.), beliau juga turut meletakkan huruf-huruf tertentu sebagai singkatan bagi perawi. Di sisi beliau, huruf خ merujuk kepada al-Bukhari. Huruf م merujuk kepada Muslim. Manakala huruf ق membawa maksud Muttafaq ‘Alaih.

2- Perkataan Muttafaq Alaih masyhurnya merujuk kepada hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari dan al-Imam Muslim daripada Sahabat yang sama. Namun, apabila kita membaca kitab 'Muntaqa al-Akhbaar' karya Majd ad-Din Ibn Taimiyyah (datuk kepada Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah), kita akan dapati bahawa perkataan Muttafaq Alaih merujuk kepada hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad, al-Bukhari, dan Muslim.

Justeru, menjadi kesilapan ilmiah jika kita menyamakan Muttafaq Alaihi di sisi Majd ad-Din Ibn Taimiyyah dengan para Ulama' lainnya.

3- Perkataan (Munkar al-Hadis) di dalam ilmu Jarh wat Ta'dil. Di sisi al-Imam al-Mubajjal Ahmad bin Hanbal (W. 241 H.), lafaz Munkar al-Hadis merujuk kepada perawi-perawi yang sedikit khabar dan hadis-hadisnya.

Adapun perkataan Munkarul Hadis di sisi al-Imam al-Bukhari (w. 256 h.), ia seperti mana yang beliau jelaskan sendiri dengan kata-katanya: "Kesemua yang aku katakan padanya: Munkar al-Hadis, maka tidak halal meriwayatkan hadis darinya".

Oleh itu, tidak boleh disamakan perkataan Munkar al-Hadis di antara al-Imam Ahmad dengan al-Imam al-Bukhari.

4- Lafaz (Gharib) di sisi al-Imam az-Zaila'ie di dalam kitab Nashb ar-Raayah merujuk kepada: لا أصل له (tidak ada asal baginya) manakala lafaz ini berbeza dengan Gharib di sisi al-Imam at-Tirmizi. 

Justeru, terdapatnya di sana perbezaan istilah gharib di sisi az-Zaila'ie dan at-Tirmizi. Ini memerlukan, para penuntut ilmu supaya lebih daqiq (teliti) dalam menggunakan sesuatu istilah atau lafaz. Wallahua'lam.

Muhammad Fahmi Bin Rusli

Aal al-Bayt University, Jordan.
1 April 2013.